Sunday, February 7, 2010

Kelab Iqra' Terima Kunjungan Pelajar Politeknik Johor bahru

UTHM, 6 Februari- Kelab Iqra' UTHM telah menerima kunjungan daripada Kelab Rakan Muda Masjid  (KRMM) Politeknik Johor Bahru dalam program Lawatan Sosial Kepimpinan, Akademik dan Pengurusan (LANdSKAP) yang berlangsung pada 5 dan 6 Februari yang lalu. Lawatan yang diadakan bertujuan menjalinkan hubungan ukhwah antara kedua-dua kelab di samping berkongsi maklumat mengenai pengurusan dan kepimpinan antara satu sama lain. Delegasi KRMM yang diketuai oleh pengerusinya iaitu saudara Muhammad Farizan bin Tumiran tiba di UTHM pada 5 Februari kira-kira pukul 10 malam dengan disambut oleh ahli jawatankuasa sambutan yang terdiri daripada ahli Kelab Iqra' dan Jawatankuasa Teman Pusat Islam (JTPI). Mereka dibawa ke Dewan Aktiviti Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail untuk program sambutan dan sesi ice breaking bersama-sama Sahabat Iqra' dan ahli JTPI. Program disambung pada keesokan harinya dengan program Hari Keluarga yang diadakan di sekitar kampus induk UTHM. Pada petangnya pula diadakan sesi diskusi kepimpinan kedua-dua kelab dan program berakhir kira-kira pukul 6 petang. Pengarah programnya, saudara Mohd Farizal bin Abdul Rahman ketika diminta mengulas menyifatkan lawatan ini berjaya mengeratkan ukhwah antara kedua-dua kelab yang berbeza kampus dan keadaan tetapi mempunyai matlamat yang sama iaitu menyebarkan dakwah Islamiah kepada warga kampus.-Iqra'Kini

Gambar sekitar lawatan tersebut boleh dilihat di ruangan Gambar.