UTHM, 12 Julai- Kelab Iqra' telah mengadakan Bengkel Pengurusan Akademik "Smart Manage and Get A's" bertujuan untuk membimbing para pelajar terutamanya pelajar baru dalam pengurusan akademik. Bengkel tersebut telah diadakan di Dewan Kuliah A, Blok G3 dengan kehadiran peserta menjangkau kira-kira 200 orang. Program bermula dengan pendaftaran peserta pada pukul 8.30 pagi dan perasmian kira-kira jam 9.00 pagi. Bengkel diteruskan dengan slot ceramah yang disampaikan oleh Dr. Yusri bin Yusuf, Penyelaras Alumni Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan. Program berhenti rehat seketika untuk jamuan pagi sebelum diteruskan dengan slot tayangan video ikon yang diacarakan oleh saudara Amir bin Yusof. Bengkel diteruskan dengan slot Jam Belajar Pelajar oleh saudara Mohd. Hadi bin Abd. Rahman, Presiden Kelab Iqra' yang tampil dengan gimik orang kurang upaya pada permulaan slot. Peserta ternyata 'tertipu' dengan gaya lakonannya yang seakan-akan benar. Program kemudiannya diteruskan lagi dengan slot praktikal pengurusan akademik di mana para peserta dibahagikan mengikut kumpulan dengan dibimbing oleh fasilitator dari Lujnah Bimbingan Akademik dan Kaunseling. Pada slot ini para peserta telah ditunjukkan cara-cara untuk membahagikan masa untuk belajar sesuatu subjek mengikut kredit. Program diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada peserta bertuah sebelum bersurai kira-kira jam 1.20 petang. Program ini pada keseluruhannya berjalan dengan amat baik dan rata-rata peserta yang ditemui berpuas hati dengan penganjuran program dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang.-iqra'kini-
Lagi gambar di blog Warna-warni Kelab Iqra'
Lagi gambar di blog Warna-warni Kelab Iqra'