Saff Kepimpinan Kelab Iqra' UTHM 2013/2014

Selamat Kembali ke Kampus' Daripada Kelab Iqra' UTHM.

Presiden Kelab Iqra' UTHM 2012/2013

Saudara Ahmad Norhakim bin Mohamed Sabri, Presiden Kelab Iqra' UTHM 2012/2013.

Pertandingan Poster Dakwah Kelab Iqra' UTHM

Pertandingan poster dakwah anjuran Kelab Iqra' UTHM bertemakan 'Sunnah Rasulullah'.

Bersilaturrahim sesama muslim

Ukhuwah itu lebih indah jika segalanya kerana Allah.

Seminar Pemantapan Akidah Kelab Iqra' UTHM

Penceramah jemputan Dr. Ann Wan Seng.

Tuesday, November 6, 2012

Al-Quran : Tak Kenal, Maka Ta'aruf


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillahi rabbil alamin. Segala puji kita panjatkan ke atas pencipta agung kita Allah s.w.t. Tanpa rahmat dan kasih sayang dariNya tidak mungkin kita akan dapat melihat alam ini pada hari ini. Alhamdulillah, kita diberi nafas baru dan juga nikmat merasai kehidupan pada hari ini dalam nikmat yang terbesar iaitulah iman dan Islam. Maka, selayaknya kita bersyukur hanya padaNya.

Selawat dan salam dihadiahkan kepada Rasul mulia, Muhammad s.a.w serta sesiapa sahaja yang bersama baginda s.a.w, mujahid dan mujahidah serta mu'minin dan mu'minat, muslimin dan muslimat yang masih lagi bersemangat dalam keazaman menegakkan agama suci ini di muka bumiNya.

Insya Allah, pada keluaran hari ini, bersempena dengan kempen Bulan Membaca al-Quran, Kelab Iqra' UTHM akan berkongsi sedikit informasi berkaitan dengan kita suci umat Nabi Muhammad s.a.w yang juga merupakan pelengkap dan pemansuh isi kandungan kitab-kitab suci sebelumnya iaitulah al-Quran al-Karim.

1. Nama
Sahabat-sahabat sekalian,

Seperti mana yang kita ketahui, al-Quran mempunyai nama-namanyag yang tersendiri. Antara nama-nama tersebut adalah:
  • Al-Kitab (Kitab)
  • Al-Kalam (Kata-kata)
  • Al-Huda (Petunjuk)
  • Al-Furqan (Pembeza)
  • At-Tanzil (Penurunan)
  • Al-Haq (Kebenaran)
  • An-Nuur (Cahaya)
  • Asy-Syifaa' (Penyembuh)
  • Az-Zikr (Peringatan)
Daripada maksud yang disertakan dengan nama-nama di atas, tentunya kita dapat membayangkan apa kaitan nama-nama tersebut dengan al-Quran. Terdapat banyak lagi nama-nama al-Quran yang jarang kita dengar. Di sini, hanya dibentangkan sebahagian daripada nama-nama tersebut.

Perlu diingatkan bahawa nama-nama yang disandarkan kepada al-Quran juga menunjukkan sifat-sifat al-Quran yang penuh dengan kesempurnaannya kerana ianya merupakan kalamullah (kata-kata Allah s.w.t)


2. Isi Kandungan
Di dalam al-Quran terdapat beberapa perkara pokok atau isi kandungan utama yang boleh dikategorikan seperti di bawah:
  • Aqidah
  • Ibadah
  • Akhlak
  • Hukum-hakam
  • Peringatan
  • Kisah dan riwayat
  • Dorongan untuk berfikir
Setiap daripada isi kandungan di atas boleh kita perhatikan pada setiap ayat-ayat al-Quran. Dalam sepotong ayat yang pendek, mungkin terungkat salah satu perkara pokok di atas. Malah, di dalam ayat yang panjang berkemungkinan kesemua perkara pokok di atas terkandung di dalamnya.


3. Surah-surah
Seperti mana yang kita ketahui, al-Quran mengandungi 114 surah di dalamnya. Mari kita imbas seketika nama-nama surah tersebut berserta dengan maksudnya sekali.

1. Surah Al-Fatihah (Pembukaan)
2. Surah Al-Baqarah (Sapi Betina)
3. Surah Ali 'Imran (Keluarga Imran)
4. Surah An-Nisaa' (Wanita)
5. Surah Al-Maa’idah (Hidangan)
6. Surah Al-An'aam (Binatang Ternakan)
7. Surah Al-A'raaf (Tempat Tinggi)
8. Surah Al-Anfaal (Rampasan Perang)
9. Surah At-Taubah (Taubat)
10. Surah Yunus (Nabi Yunus a.s.)
11. Surah Hud (Nabi Hud a.s.)
12. Surah Yusuf (Nabi Yusuf a.s.)
13. Surah Ar-Ra’d (Guruh)
14. Surah Ibrahim (Nabi Ibrahim a.s.)
15. Surah Al-Hijr (Kawasan Berbatu)
16. Surah An-Nahl (Lebah)
17. Surah Al-Israa’ (Perjalanan Malam)
18. Surah Al-Kahfi (Gua)
19. Surah Maryam (Siti Maryam)
20. Surah Taahaa
21. Surah Al-Anbiyaa’ (Para Nabi)
22. Surah Al-Hajj (Haji)
23. Surah Al-Mu’minun (Golongan yang Beriman)
24. Surah An-Nuur (Cahaya)
25. Surah Al-Furqaan (Pembeza Kebenaran dan Kebatilan)
26. Surah Asy-Syu’araa (Para Penyair)
27. Surah An-Naml (Semut)
28. Surah Al-Qasas (Cerita-cerita)
29. Surah Al-‘Ankabut (Labah-labah)
30. Surah Ar-Rum (Masyarakat Rom)
31. Surah Luqman (Luqman)
32. Surah As-Sajdah (Sujud)
33. Surah Al-Ahzab (Golongan yang Bersekutu)
34. Surah Saba’ (Kaum Saba’)
35. Surah Faatir (Pencipta)
36. Surah Yaasin
37. Surah As-Saaffat (Yang Berbaris Dengan Teratur)
38. Surah Saad
39. Surah Az-Zumar (Rombongan)
40. Surah Al-Mu’min (Orang yang Beriman)
41. Surah Fussilat (Dijelaskan)
42. Surah Asy-Syuraa (Permesyuaratan)
43. Surah Az-Zukhruf (Perhiasan Emas)
44. Surah Ad-Dukhaan (Kabut/Asap)
45. Surah Al-Jatsiyah (Yang Berlutut)
46. Surah Al-Ahqaaf (Bukit-bukit Pasir)
47. Surah Muhammad (Nabi Muhammad s.a.w.)
48. Surah Al-Fat-h (Kemenangan)
49. Surah Al-Hujurat (Bilik-bilik)
50. Surah Qaf
51. Surah Adz-Dzariyaat (Angin yang Menerbangkan)
52. Surah At-Tur (Gunung)
53. Surah An-Najm (Bintang)
54. Surah Al-Qamar (Bulan)
55. Surah Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah)
56. Surah Al-Waqi’ah (Peristiwa yang Tidak Dapat Dielakkan)
57. Surah Al-Hadid (Besi)
58. Surah Al-Mujadilah (Perempuan yang Merayu)
59. Surah Al-Hasyr (Pengusiran)
60. Surah Al-Mumtahanah (Perempuan yang Diuji)
61. Surah As-Saf (Barisan)
62. Surah Al-Jumu’ah (Hari Jumaat)
63. Surah Al-Munafiquun (Golongan Munafik)
64. Surah At-Taghabun (Saling Untung dan Rugi)
65. Surah At-Talaq (Cerai)
66. Surah At-Tahrim (Mengharamkan)
67. Surah Al-Mulk (Kerajaan)
68. Surah Al-Qalam (Pen)
69. Surah Al-Haaqqah (Keadaan Sebenar)
70. Surah Al-Ma’arij (Tempat-tempat Naik)
71. Surah Nuh (Nabi Nuh a.s.)
72. Surah A-Jin (Jin)
73. Surah Al-Muzammil (Yang Berselimut)
74. Surah Al-Muddathir (Yang Berselimut)
75. Surah Al-Qiamah (Kebangkitan)
76. Surah Al-Insaan (Manusia)
77. Surah Al-Mursalat (Yang Diutus)
78. Surah An-Naba’ (Berita Besar)
79. Surah An-Naazi’aat (Yang Mencabut)
80. Surah ‘Abasa (Dia Bermasam Muka)
81. Surah At-Takwiir (Menggulung)
82. Surah Al-Infitar (Pecah Belah)
83. Surah Al-Mutaffifiin ( Golongan yang Curang)
84. Surah Al-Insyiqaaq (Terbelah)
85. Surah Al-Buruj (Gugusan Bintang)
86. Surah At-Taariq (Pengunjung Malam)
87. Surah Al-A’laa (Yang Tertinggi)
88. Surah Al-Ghaasyiah (Peristiwa yang Menggelisahkan)
89. Surah Al-Fajr (Fajar/Sinar Mentari)
90. Surah Al-Balad (Negeri)
91. Surah Asy-Syams (Matahari)
92. Surah Al-Lail (Malam)
93. Surah Adh-Dhuha (Pagi yang Cemerlang)
94. Surah Al-Insyirah/Al-Syarah (Kelapangan)
95. Surah At-Tin (Buah Ara)
96. Surah Al-‘Alaq (Gumpalan Darah)
97. Surah Al-Qadr (Kemuliaan)
98. Surah Al-Baiyinah (Bukti yang Nyata)
99. Surah Al-Zalzalah (Kegoncangan)
100. Surah Al-‘Aadiyaat (Yang Berlari Kencang)
101. Surah Al-Qari’ah (Hari Yang Hingar Bingar)
102. Surah At-Takathur (Bermegah-megah)
103. Surah Al-‘Asr (Waktu)
104. Surah Al-Humazah (Pengumpat)
105. Surah Al-Fiil (Gajah)
106. Surah Quraisy (Kaum Quraisy)
107. Surah Al-Ma’un (Barangan Berguna)
108. Surah Al-Kauthar (Melimpah-ruah)
109. Surah Al-Kafirun (Golongan Kafir)
110. Surah An-Nasr (Pertolongan)
111. Surah Al-Lahab (Nyalaan Api)
112. Surah Al-Ikhlas (Tulus Ikhlas)
113. Surah Al-Falaq (Subuh/Dinihari)
114. Surah An-Nas (Manusia)


4. Fadhilat

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa hendak berdialog dengan Allah s.w.t. maka bacalah Al-Quran"

Riwayat dari Utsman ibn Affan r.a. berkata :Nabi Muhammad s.a.w.  bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran lalu mengajarnya."

Al-Hakim mengikhraj dari Ibnu Mas'ud:"Barangsiapa membaca satu huruf dari Kitab Allah s.w.t. (Al-Quran) maka baginya pahala satu HASANAH (satu kebajikan) dan satu HASANAH itu berganda sepuluh. Tidak aku katakan ALIF-LAAAM-MIIIN adalah satu huruf, melainkan ALIF satu huruf, LAAAM satu huruf dan MIIIN satu huruf."

Nabi Muhammad s.a.w.  bersabda yang bermaksud:

"Kau pergi dipagi hari lalu kau belajar satu ayat dari Kitab Allah s.w.t. (AL-QURAN), sungguh hal itu lebih baik bagimu daripada kau lakukan solat seratus rakaat."

Dan diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.:

"Barangsiapa mendengarkan satu ayat dari Kitab Allah s.w.t. maka dicatatkan untuknya HASANAH berganda, dan barangsiapa membaca satu ayat Kitab Allah s.w.t. maka ayat itu merupakan nur baginya kelak dihari kiamat."

Juga diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Hai Abu Hurairah, pelajarilah Al-Quran dan ajarkanlah kepada manusia, dan kau selalu begitu hingga datang maut menghampirimu dalam keadaan begitu maka para malaikat berduyun-duyun kemakammu sebagaimana orang-orang mukmin berduyun-duyun keBaitullah al-Haram."

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa mengajarkan kepada anaknya satu ayat  Al-Quran maka hal itu lebih baik baginya daripada ibadah selama seribu tahun, (iaitu) berpuasa disiang hari dan solat dimalam hari selama seribu tahun dan lebih baik baginya daripada seribu dinar yang ia sedekahkan kepada kaum fakir miskin."


"Sesungguhnya Kamilah (Allah) yang menurunkan peringatan (Al-Quran), dan Kami (Allah) jualah yang memeliharanya"
Surah al-Hijr ayat 9

Semoga bermanfaat buat kita pada hari ini dan hari-hari akan datang insya Allah. Wallahualam

Kelab Iqra'
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Membina Generasi Al-Quran

Selalu Dilupakan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan yang Maha Mencipta sekalian alam semesta serta diri-diri kita yang kerdil ini. Syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana hari ini dan saat ini kita masih lagi mampu bernafas seperti hari-hari sebelumnya, mampu lagi menatap keindahan penciptaanNya yang ada pada diri kita, alhamdulillah. 

Tidak lupa juga, selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, insan mulia di akhir zaman ini yang juga penghulu para Nabi dan Rasul. Juga ke atas para ahli keluarga baginda s.a.w, para sahabat-sahabat baginda s.a.w, serta muslimin dan muslimat yang masih berada di muka bumi Allah ini dengan cita-cita mengembalikan kegemilangan Islam sepertimana yang pernah dikecapi suatu masa dahulu.

Insya Allah pada keluaran kali ini, Kelab Iqra' UTHM akan berkongsi satu ayat yang pendek, yang selalu meninti di bibir-bibir kita setiap kali solat (kerana kependekkannya) mahupun di luar solat. Malah, surah ini juga sering digunakan di dalam ceramah-ceramah agama walau di mana kita berada. Surah yang dimaksudkan adalah Surah al-Asr, ayat 1-3.


Surah ini merupakan surah yang ke-103 dari al-Quran al-Karim yang mengandungi 3 ayat. Surah ini tergolong dalam surah makiyyah yang mana diturunkan ketika Nabi Muhammad s.a.w berada di Mekah.

Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah sekalian,

Dalam surah yang kecil, yang mengandungi tiga ayat ini tergambar satu peraturan hidup yang sempurna bagi manusia sebagaimana yang dikehendaki Islam. Sifat-sifat pokok kefahaman keimanan serta hakikatnya yang agung dan syumul adalah tergambar begitu jelas dalam surah ini. Ia meletakkan seluruh perlembagaan Islam dalam beberapa ungkapan yang pendek dan mensifatkan hakikat dan fungsi umat Islam hanya dalam satu ayat sahaja iaitu ayat yang ketiga dari surah ini. Inilah pengungkapan yang mengkagumkan yang hanya dapat dilakukan oleh Allah 'Azzawajalla sahaja.**

Seperti yang kita sedia maklum mengenai tafsiran ayat ketiga surah ini mengajar kita akan panduan dan batas-batas dalam kehidupan sekiranya kita tidak ingin menjadi seorang yang rugi. Kerugian yang dinyatakan di sini bukan sahaja dalam ruang lingkup duniawi malah, ianya lebih merujuk kepada ukhrawi ataupun dalam bahasa yang mudah, akhirat.

Cuba kita bayangkan sama-sama. Bagaimana mungkin Allah s.w.t menyatakan bahawa kita semua ini berada di dalam kerugian. Bukankah itu satu perkara yang pelik dan tidak dapat diterima akal fikiran kita? Iya, memang ianya satu perkara yang tidak logik. Mengapa? Kita telah pun berusaha sedaya upaya dan mendapat balasan yang setimpal dengan usaha kita dan kemudian, kita mendapat pekerjaan. Maka setiap hari kita bekerja dengan sumber yang halal serta cara yang halal. Tidak pernah sekalipun kita mengatasi syariat dalam kehidupan kita.

Dalam konteks sebagai seorang pelajar atau mahasiswa pula, kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan sehingga di akhir pengajian kita, kita mampu memegang segulung ijazah atau sijil yang mengatakan bahawa kita telah tamat pengajian dengan jayanya serta dengan keputusan yang membanggakan diri masing-masing serta seluruh ahli keluarga kita.

Lalu, di mana kerugian yang kita alami sedangkan Allah s.w.t sentiasa memberi nikmat dan balasan yang setimpal dengan usaha kita, meskipun kita Muslim atau bukan, ianya sama sahaja. Lalu, di mana kerugiannya?

Kerugiannya adalah seperti yang diterangkan di dalam ayat ketiga surah ini. Ramai umat manusia yang leka dan alpa sehingga mereka hanya mengejar dunia tanpa menghiraukan akhirat, nauzubillah, semoga kita terhindar dari menjadi golongan seperti ini.

Terdapat 4 golongan yang Allah s.w.t nyatakan di dalam surah ini yang mana golongan ini tidak akan merasai kerugian duniawi iaitulah:
  1. Golongan yang beriman
  2. Golongan yang beramal soleh
  3. Golongan yang berpesan dengan kebenaran
  4. Golongan yang berpesan dengan kesabaran
4 golongan ini merupakan mereka yang sentiasa berada di dalam keuntungan meskipun mereka tidak berkesempatan untuk merasai nikmat seperti mana yang mampu kita kecapi. Mengapa mereka ini dikatakan sedemikian?

Golongan yang beriman.

Iman merupakan hubungan kita sebagai seorang hamba yang kerdil, hina, lemah dan sebagainya dengan pencipta kita Allah 'azza wa jalla yang Maha Kuat, Gagah, dan semua kekuatan serta kesempurnaan disandarkan kepadaNya. Dengan keimanan ini, seorang manusia akan dapat mengecapi tingkatan taqwa, iaitulah takut kepadaNya semata-mata.

Hubungan iman yang kuat antara makhluk dan penciptanya akan melahirkan satu kekuatan yang akan memberi kenikmatan kepada makhluk tersebut. Analoginya, seekor lembu yang sedang meragut rumput yang segar di padang yang besar. Lembu tersebut tidak perlu untuk memikirkan apa-apa kerana dia tahu bahawa dirinya adalah lembu yang diciptakan oleh penciptanya hanya untuk berada di padang, meragut rumput dan mungkin akan disembelih suatu hari nanti. Maka lembu tersebut menerima hidupnya dengan tenang tanpa perlu banyak ragam.

Daripada analogi yang dinyatakan di atas, bukanlah niat untuk mengatakan bahawa iman itu boleh digambarkan seperti lembu, tidak. Akan tetapi, tamsilan dari analogi tersebut adalah, seorang hamba yang beriman akan mengetahui bahawa setiap tindak-tanduk malah ketentuan dirinya telah pun tercatat dalam Luh Mahfuz masing-masing, diiringi dengan qada' dan qadar Allah. Namun, seorang hamba yang kurang atau tidak beriman akan mudah menyalahkan nasib dan juga takdirnya sekiranya dia mendapat kesusahan dan sekiranya mendapat kesenangan, maka dia akan tersenyum gembira tanpa mensyukuri nikmat kurniaanNya.

Maka golongan yang beriman kepadaNya merupakan golongan yang sentiasa berada di dalam keuntungan.

Golongan yang beramal soleh.

Setelah mengecapi nikmat dan kemanisan iman, maka sudah pastilah seorang hamba itu akan merasai ketenangan yang hadirnya daripada pencipta ketenangan. Maka, dengan mudah dia akan tersenyum seperti mana Rasulullah s.a.w senyum walau dihina oleh umatnya sendiri. Maka dengan mudah juga, hamba tersebut akan sabar menghadapi musibah dan dugaan yang didatangkan kepadanya.

Hati hamba yang beriman akan sentiasa basah mengingati Allah. Mereka akan merasakan bahawa Allah-lah yang menciptakan mereka dan Dialah yang sedang melihat pada detik mereka berada di sesuatu tempat mahupun tempat itu gelap, jauh dari pandangan manusia. Maka, dengan itu mereka akan sentiasa beramal dengan amalan yang soleh.

Dengan amalan inilah mereka tidak akan merasai kerugian kerana mereka tahu niat mereka setakat mana dengan ganjaran yang bakal mereka perolehi. Mereka hanya mengharapkan redha dan kasih sayang Allah dalam setiap amalan yang mereka kerjakan.

Amalan soleh bukanlah semata-mata bersolat, berzikir, membaca al-Quran, malah ia lebih besar daripada itu, sama seperti konsep ibadah. Jika segala pekerjaan yang kita lakukan semata-mata kerana Allah, hatta membasuh pinggan mangkuk atau menyapu, maka itu sudah dikira ibadah dan juga tergolong dalam amalan soleh. Dan perlu kita insafi bahawa segala amalan kita hanya diniatkan untuk mendapat keredhaan Allah.

Bayangkan, seorang pekerja yang mendapat pendapatan bulanan sebanyak RM4K dengan hanya duduk di kerusi akan menganggap pekerjaannya mudah. Maka kemungkinan besar dia akan memandang remeh akan pekerjaannya itu. Suatu hari, dia terasa ketuannya sentiasa memerhatikannya. Tidak lama kemudian, dia terasa dirinya diperhatikan. Apabila disedari, memang dia telah diperhatikan oleh ketuanya sepanjang dia berada di pejabatnya. Lalu, barulah dia insaf bahawa dia mesti bekerja tidak kisah seremeh mana pekerjaan yang dilakukannya.

Maka, bagaimana dengan kita yang mana Allah s.w.t sentiasa memerhati 24 jam tanpa henti? Seharusnya amalan kita lebih baik dari pekerja tadi.

Golongan yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Dua golongan ini tidak mungkin akan terpisah. Mereka yang sentiasa menasihati akan perkara yang benar akan sentiasa diuji oleh Allah, lalu di situ mereka turut berpesan dengan kesabaran.

Golongan ini tergolong dalam golongan yang tidak mendapat kerugian kerana usaha mereka untuk menyatakan yang haq melebihi batil akan memakan masa yang lama. Kesabaran amat diperlukan sepanjang usaha mereka itu dijalankan.

Sepanjang usaha mereka itu dilakukan, mereka sedar bahawa mereka perlu menambah ilmu di samping tidak berhenti untuk menyatakan kebenaran kepada masyarakat. Sekiranya Allah izinkan supaya urusan mereka mudah, maka sudah pasti mereka menjadi asbab (penyebab) untuk seseorang mendapat hidayah daripadaNya lalu mereka pun mendapat ganjaran yang besar yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Sesetengah masyarakat memandang serong akan perkara seperti ini. Sebagai contoh, apabila ibu bapa melihat anaknya lebih cenderung untuk belajar ilmu agama, dengan mudahnya ibu bapa tersebut mengatakan bahawa hanya dengan ilmu agama si anak tidak mampu untuk pergi lebih jauh dalam kehidupan di dunia ini. Nah! Tanggapan ini ternyata salah. Hari ini, kita melihat ustaz-ustaz artis yang dikeluarkan dari rancangan realiti TV iaitu Imam Muda. Mereka ini merupakan contoh terdekat yang belajar ilmu agama dan berjaya dalam kehidupan di dunia, malah mereka mampu untuk menarik lebih ramai lagi anak-anak muda untuk mendekatkan diri kepada Allah dan landasan Islam. Seperti juga dengan fenomena pada zaman sekarang iaitu Ustaz Azhar Idrus yang semakin terkenal mengalahi artis-artis negara.

Lalu, di mana kerugiannya? Hanya hati dan fikiran yang tidak mahu menerima hidayah dan keesaan Allah sahaja tidak mahu mengaku.

Semoga mampu untuk memberi manfaat kepada sahabat-sahabat sekalian.

Wallahualam.
**Rujukan dari Tafsir fi Zilalil Quran karangan as-Syahid Syed Qutb.

Kelab Iqra'
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Membina Generasi Al-Quran








Sunday, November 4, 2012

Pemakan Bangkai

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, diberi lagi kekuatan kepada kita untuk bernafas pada hari ini dan juga merasai kenikmatan yang Allah berikan kepada kita. Apa khabar sahabat-sahabat semua? Kelab Iqra' UTHM mengharapkan anda semua sihat wal'afiat sentiasa. Insya Allah, pada kali ini kami ingin berkongsi salah satu ayat dari salah satu surah yang terdapat di dalam kitab suci kalamullah al-Quran al-Karim.

Ayat dari surah yang kami maksudkan adalah ayat ke 12 dari surah al-Hujurat yang berbunyi seperti di bawah:


"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian darinya (prasangka) itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah janganlah sebahagian dari kamu mengumpat sebahagian yang lain. (adakah) Kesukaan seseorang dari kamu akan memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani"

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Daripada ayat di atas, apa yang ingin disampaikan oleh Allah s.w.t kepada RasulNya melalui perantaraan malaikat Jibrail, adalah sangat jelas mengikut logik akal kita. Iaitulah, larangan Allah terhadap hambaNya yang mengumpat atau suka akan perbuatan mengumpat.

Mengapa Allah s.w.t melarang hamba-hambaNya daripada mengumpat? Sekiranya ibubapa atau seseorang melarang kita daripada melakukan sesuatu perkara, sudah pasti ada keburukan atau kesan daripada perbuatan itu sekiranya kita melakukannya. Maka, sekiranya larangan itu dari Allah s.w.t, sudah pasti ada keburukannya. 

Sekiranya kita melihat secara langsung kesan dari perbuatan mengumpat, kita akan dapati bahawa mengumpat itu akan mendatangkan kesan yang sangat besar kepada masyarakat secara umunya dan juga kepada umat Islam secra khususnya.

Antara kesan yang besar dari mengumpat ini adalah tersebarnya fitnah secara melata sekiranya apa yang disampaikan itu tidak benar. Fitnah ini bukan sahaja akan menyebabkan maruah dan nama baik seseorang itu jatuh, malah ianya boleh menyebabkan suami isteri bergaduh, keluarga pecah belah, malah negara akan huru hara hanya disebabkan oleh fitnah yang datangnya dari seorang sahaja.

Di dalam ayat di atas, Allah menjelaskan secara terus akan akibat atau balasan kepada orang-orang yang suka mengumpat iaitulah golongan yang suka akan perbuatan ini akan memakan daging sesiapa sahaja yang menjadi mangsa umpatannya. Allahu Rabbi, bagaimanakah rasa daging manusia ini sahabat-sahabat sekalian? Menurut kajian, mayat atau bangkai manusia merupakan bangkai yang paling busuk sekali! Lalu, bagaimana mungkin seorang manusia memakan bangkai manusia yang lain yang mana manusia itu adalah mangsa umpatannya?

Daripada potongan ayat yang menjelaskan mengenai balasannya orang yang mengumpat, sebenarnya Allah s.w.t telah merendahkan darjat golongan yang suka mengumpat. Adalah sesuak yang memalukan sekiranya kita mengumpat orang lain lalu kita memakan dagingnya seumpamanya kita meludah, kemudian kita jilat balik ludah kita tersebut. Allahu Rabbi.

Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah sekalian,

Di akhir ayat di atas, Allah s.w.t menyatakan agar kita haruslah bertaqwa kepada Allah dan Dia sendiri mengatakan bahawa Dialah Maha Penerima Taubat dan Maha Mengasihani. Perkataan taqwa selepas larangan mengumpat ada kaitannya iaitu, taqwa itu sendiri membawa maksud, buat apa yang Allah suruh dan jauhi laranganNya. Maka, perlulah kita memegang dan memahami konsep taqwa ini supaya kita tidak melakukan perbuatan mengumpan, apatah lagi menabur fitnah, insya Allah.

Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani. Semoga taubat-taubat kita dari perbuatan yang salah dari diri kita diampuni oleh Allah s.w.t, amin insya Allah.

~Al-Quran panduan hidup manusia~

Kelab Iqra'
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Membina Generasi Al-Quran

Surah al-Fatihah ayat 5

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, pada hari ini kita mampu untuk bernafas sekali lagi dengan udara serta degupan jantung kepunyaan Allah yang dipinjamkan sementara kepada kita sebagai makhluk ciptaanNya. Saban hari kita akan melalui hari baru yang segala-galanya baru. Udara baru, titisan embun yang baru, sinar matahari yang baru, dan juga degupan jantung yang baru. Akan tetapi, kita jarang merasai 'kebaruan' itu dek kerana terlalu biasa dengan hari-hari seperti hari-hari sebelumnya.

Insya Allah, pada keluaran kali ini, Kelab Iqra' UTHM akan berkongsi satu ayat dari surah yang sangat-sangat selalu kita baca dalam solat kita iaitulah surah al-Fatihah. Namun, kali ini Kelab Iqra' UTHM hanya akan berkongsi ayat kelima dari surah tersebut.

Berikut merupakan ayat kelima daripada surah al-Fatihah:

"Hanya padaMu-lah kami menyembah dan kepadaMu-lah kami meminta pertolongan"

Dalam ayat ini, Allah s.w.t mengajar kita bahawa hanya kepadaNya sahajalah tempat kita menyembah dan juga meminta pertolongan. Ayat ini merupakan salah satu ayat yang mentauhidkan keesaan Allah s.w.t.

Jika kita teliti dengan lebih mendalam, dalam konteks hidup di alam moden ini, kita sentiasa mencari-cari tempat untuk mengadu dan meluah masalah. Dan, seringkali itu jugalah laman sosial seperti Facebook, Blogger dan juga Twitter menjadi sasaran kita untuk meluahkan segala permasalahan yang timbul, meskipun kadangkala status atau luahan itu sangat panjang. Namun, kita lupa bahawa Dia telah pun mengajar kita dalam satu surah yang selalu kita baca iaitulah seperti yang tertera di atas.

Allah mengajar kepada kita supaya hanya pada Dia sahaja kita menyembah sebelum Dia mengajar kita supaya hanya kepada Dia sahaja kita meminta pertolongan. Analoginya dapatlah kita samakan seperti kita ingin meminta sedikit duit daripada ibu bapa kita untuk kegunaan seharian. Adakah kita akan meminta secara terus daripada mereka? Atau kita akan mengeluarkan bahasa yang berbunga-bunga terlebih dahulu? Sudah pasti, kita akan memulakan niat kita dengan satu titik mula seperti bertanya khabar terlebih dahulu dan kemudiaannya kita iringi dengan niat kita diawalnya tadi. Makan, ianyanya samalah seperti apa yang Allah ajar di dalam ayatNya di atas. 

Dengan penuh ikhlas dan rendah diri, kita perlu, dan sememangya wajib, untuk menyembah Allah azza wa jalla sebagai pencipta alam semesta, lalu kita memohon pertolongan kepadaNya. Dalam salah satu ayat dari surah al-Baqarah yang berbunyi:

"Dan mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya (solat) itu berat melainkan ke atas orang-orang yang khusyu'"

Maka ingatlah sahabat-sahabat sekalian, bahawa penolong kita hanyalah Allah s.w.t. Dia yang menciptakan masalah, maka Dia jualah yang mempunyai penyelesaiannya. Perlu diinsafi bahawa setiapa masalah atau musibah itu merupakan ujian ke atas kita. Ianya juga merupakan nikmat sekiranya kita menghadapi masalah tersebut dengan hati yang sabar dan tenang.

Insya Allah, moga keluaran kali ini bermanfaat kepada kita semua. 

Sebarkan, dan amalkan, insya Allah.

Kelab Iqra'
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Membina Generasi Al-Quran


Thursday, November 1, 2012

Bulan Membaca al-Quran


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Al-Quran merupakan satu mukjizat agung kekasih Allah, Rasul junjungan mulia serta penghulu para Nabi. Ianya diturunkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w sebagai panduan hidup manusia. Al-Quran mengajar kita erti kehidupan yang tersusun serta betul berpandukan syariat dan norma kemanusiaan.

Antara isi kandungan yang terdapat di dalam kitab suci ini adalah:

  • Jenayah
  • Muamalat
  • Munakahat
  • Akhlak
  • Ibadah
  • Akidah
  • Siasah
  • Sirah
  • Feqah
  • ilmu duniawi seperti sains, matematik, falak dan sebagainya
  • dan bermacam-macam pengajaran yang boleh kita ambil daripadanya.

Al-Quran juga merupakan kalamullah iaitu kata-kata Allah yang berupa wahyum diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibrail ataupun secara langsung dari Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Justeru, segala ilmu yang ada padanya adalah daripada Pemilik segala ilmu. Maka, tidak dinafikan bahawa ianya sememangnya meliputi sekalian ilmu yang ada di dunia.

Juga, kita pernah diberitakan terdapat ramai ahli saintis dan pengkaji yang bukan Islam telahpun menganuti agama Islam kerana hidayah yang mereka dapat dari kita suci ini.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menghidupkan al-Quran di dalam diri kita dengan mendekatkan diri kita kepada kitab suci Allah ini, insya Allah..

Terdapat pelbagai cari yang boleh kita gunakan untuk mendekatkan diri kita kepada al-Quran. Antaranya:
  • Membaca al-Quran
  • Memahami isi kandungannya
  • Menghayati isi kandungannya
  • Mengkaji isi kandungannya
  • Menyebarkan isi kandungannya
  • Mengamalkan isi kandungannya sebaik mungkin
Maka dengan ini, Kelab Iqra' UTHM mengambil inisiatif untuk menganjurkan kempen Bulan Membaca al-Quran sepanjang bulan November ini. Antara objektifnya adalah:
  • Mengajak warga kampus untuk membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran.
  • Mempraktikkan al-Quran dalam kehidupan seharian.
  • Membuka minda warga kampus bahawa al-Quran bukanlah dibaca semata-mata di masjid atau surau, tetapi boleh di mana-mana sahaja asalkan tempat tersebut bersih.
  • Membina generasi al-Quran, sesuai dengan motto Kelab Iqra' UTHM

Insya Allah, marilah kita sama-sama mendekatkan diri kita kepada al-Quran sedekat yang boleh.

Ayuh sahabat-sahabat sekalian, serta warga kampus UTHM..marilah kita sama-sama MEMBINA GENERASI AL-QURAN.


Kelab Iqra' Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Membina Generasi Al-Quran

Wednesday, October 24, 2012

SUSAH SANGAT KE NAK BERKORBAN?


Jawapannya, memang SUSAH! Susah kalau kita fikir habis duit, masa, tenaga dan lain-lain. Susah nak tolong hantarkan kawan ke stesyen bas kalau takut minyak habis. Susah nak pergi melawat kawan sakit kalau fikir tak cukup masa. Susah nak tolong mak buang sampah kalau rasa penat dan malas. Memang susah nak berkorban kalau kita rasa pengorbanan kita adalah sia-sia. Cuba kita bekorban hantar gf ke stesyen bas, senang kan? Bukan setakat stesyen bas, “I hantar u balik kampung terus k” J.

PENGORBANAN, apa itu pengorbanan? Pengorbanan bermaksud, usaha seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada penciptanya melalui amal perbuatannya yang ikhlas. Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat pada orang lain.
Saya bercakap soal pengorbanan kerana sayu hati membaca kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail berkorban demi menjalankan amanah yang diberikan Allah s.w.t. Kisah pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Siti Hajar isteri kepada Nabi Ibrahim berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah s.w.t., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”
Subhanallah, dimanakah pada zaman ini dapat kita lihat orang yang sanggup berkorban sehebat Nabi Ibrahim dan anaknya. Terlalu kerdil jika dibandingkan pengorbanan kita yang tidak sehebat mana ini. Yang lebih sedih lagi, kita berkorban kerana nafsu dan kepentingan diri bukan kerana Allah s.w.t. Itu BUKAN berkorban tetapi PENTINGKAN DIRI sendiri. Kita lakukan sesuatu untuk dibalas material dan kesenangan, bukan REDHA Allah yang menjadi keutamaan. Bukan pun disuruh berkorban sembelih anak sendiri, nak suruh sembelih lembu semasa Aidiladha pun terasa malas. Sedangkan jika kita tahu ibadah korban itu tinggi nilainya. Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)
Bersempena Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang pada 10 Zulhijjah ini, saya ingin mengingatkan diri saya serta sahabat, MUHASABAH semula selama kita hidup dengan kesenangan dan nikmat hidup yang indah ini, berapa banyak kita berkorban untuk ibu, ayah, sahabat, jiran dan orang yang hampir pada kita? Mungkin boleh dihitung dengan jari, apatah lagi jika ditanya, berapa banyak pengorbanan kita pada agama ISLAM? Malu rasanya untuk menjawab persoalan itu.

Jadikan Aidiladha ini sebagai titik muhasabah kita untuk menghampiriNya. Jangan nak ingat beli tiket bas balik kampung je.

-editor-




Tuesday, July 3, 2012

Mari Berkarya

Assalamualaikum w.b.t kepada seluruh warga UTHM.

Kelab Iqra' UTHM kini menyediakan medium kepada warga UTHM yang berbakat dan berminat dalam bidang penulisan cerpen, sajak, pembuatan poster atau pengambilan gambar kreatif.

Anda boleh melihat karya-karya sahabat-sahabat Iqra' UTHM dalam button Karya Sahabat Iqra atau anda boleh klik link ini untuk terus melihatnya, http://karyasahabatiqra.blogspot.com/

Insya Allah, di pihak Kelab Iqra' UTHM akan sentiasa menambahbaik blog yang ada untuk tatapan anda semua :) Pastikan karya anda original dari anda ye!

Segala karya-karya anda bolehlah dihantar kepada ki.uthm@yahoo.com. Sila sertakan :-

1. Nama Penuh
2. No. I.C
3. No. Matrik (sekiranya anda pelajar UTHM)
4. Nama pena
5. Tajuk karya anda (wajib)
6. Gambar anda untuk kami letakkan bersama dengan karya anda.

Apalagi? Cepat-cepat berkarya jika anda kebosanan semasa cuti ini :) Jom3!!

Thursday, June 28, 2012

Masa

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurniaNya, nikmat Iman dan IslamNya, serta hidayah dan inayahNya kita masih lagi diberikan peluang untuk menghirup udara segar serta berada dalam kalangan orang-orang yang beriman denganNya.

Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w sebagai rasulNya serta utusanNya, juga sebagai kekasihNya. Juga kepada ahli keluarga baginda, para sahabat baginda, para tabi’ tabi’in dan pengikut tabi’ tabi’in serta mujahid mujahidah, mukminin mukminat, dan muslimin serta muslimat yang masih lagi berada di dalam nikmat Iman dan Islam.

Alhamdulillah, bagi kebanyakan pelajar yang sedang mengambil jurusan Sarjana Muda tentunya sudah pun merasa sedikit kepuasan kerana telah tamat menghadapi peperiksaan akhir semester pada kali ini. Tentunya terlihat kepuasan di wajah masing-masing kerana telah berjaya menghadapi tempoh peperiksaan dengan selamat tanpa sebarang masalah.

Terbitan kali ini, Lajnah Penyelidikan, Pembangunan dan Perpaduan Kelab Iqra’ UTHM ingin berkongsi berkenaan aktiviti kita selepas berhempas pulas menghadapi tempoh peperiksaan, atau dalam bahasa lainnya, semasa sedang bercuti.

Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah sekalian,

Dalam satu hadis Nabi Muhammad s.a.w yang kira-kira bermaksud: “Ada dua jenis nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang”. Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan at-Tarmizi. Hadis ini mengingatkan kita tentang nikmat yang sering kita lupakan iaitulah nikmat kesihatan dan masa lapang.

Mengapa Rasulullah s.a.w mengatakan sedemikian? Dan ternyata hadis ini benar, lebih-lebih lagi di akhir zaman ini. Kita sering leka dan alpa sekiranya kita mengecapi nikmat ini. Cuba bayangkan, seorang pesakit yang menghadapi koma hanya mampu terbaring di atas katil di hospital. Pesakit tersebut tidak mampu untuk membuka mata sekalipun. Tetapi dengan izin Allah, pesakit itu diberi nikmat kesihatan dan telah pulih dari komanya. Namun, adakah pesakit tersebut sentiasa ingat bahawa dia pernah koma suatu masa dahulu? Jika si pesakit tersebut tergolong dalam golongan yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman, insya Allah dia akan sentiasa ingat. Akan tetapi, kebanyakkan manusia zaman sekarang sering kali melupakan kesakitan yang pernah dialaminya suatu masa dahulu, termasuklah si penulis ini.

Nikmat yang kedua iaitu masa lapang. Nikmat ini merupakan nikmat terbesar dan juga ujian terbesar kepada seluruh umat manusia sehingga diturunkan satu surah di dalam kitab suci al-Quran yang berkaitan dengan masa iaitulah Surah al-Asr yang bermaksud ‘Masa’.

Di dalam surah ini, Allah s.w.t telah bersumpah dengan masa. Allah juga telah menyatakan bahawa setiap manusia daripada setiap golongan kehidupan akan rugi. Tiada sesiapa yang beruntung dalam urusan masanya melainkan hanya empat golongan yang terlepas dari kerugian tersebut iaitu; golongan yang beriman, golongan yang beramal soleh, golongan yang sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan juga golongan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.

Golongan-golongan ini akan terus mendapat rahmat daripada Allah serta merupakan orang yang berjaya di dunia dan juga di akhirat, insya Allah. Hal ini kerana, sekiranya seseorang individu itu beriman dan beramal soleh, maka amatlah sukar bagi dirinya untuk melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan rahmat Allah, dan akan terhindarlah dirinya daripada segala difat mazmumah. Dan sekiranya seseorang individu tersebut sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, maka individu tersebut akan sentiasa memperbaiki dirinya dan juga orang lain dalam mencari keredhaan Allah.

Dalam konteks mahasiswa di akhir zaman, banyak perkara yang perlu dan boleh kita laksanakan sepanjang musim cuti akhir semester ini. Antaranya contoh yang selalu kita praktikkan adalah:


  • Menolong ibu dan ayah di rumah.
  • Mengeratkan kembali silaturrahim sesama ahli keluarga sama ada yang jauh atau yang dekat.
  • Menziarahi sekolah kita terdahulu dan bertanya khabar dengan guru-guru yang pernah mendidik kita.
  • Mengadakan program yang berbentuk ilmiah dan juga mendatangkan faedah kepada diri dan juga ahli keluarga.
  • Mempertingkatkan amalan seharian yang berbentuk rohani dalam diri kita kerana hanya pada masa cuti ini sahajalah kita mempunyai masa dan waktu yang sangat panjang seperti membaca al-Quran dan berzikir.
  • Berniaga dan membantu keluarga dalam konteks ekonomi.

Sesungguhnya masih banyak lagi yang boleh kita lakukan dalam erti kata mengisi masa lapang yang dianugerahkan daripada Allah s.w.t kepada kita. Alangkah bagusnya sekiranya kita ini  tergolong dalam golongan yang berjaya dan tidak rugi seperti yang digambarkan oleh Allah dalam Surah al-Asr.

Wallahu’alam.

~Perbaiki Diri & Perbaiki Orang Lain~
As-Syahid Imam Hassan Al-Bannaa


Panduan Forum Page Kelab Iqra’ UTHM

Assalam... Pihak admin dengan ini amat berbesar hati untuk mengajak para sahabat-sahabat seklaian untuk kita sama-sama memeriahkan forum page Kelab Iqra’ UTHM. J

Forum page ini sebagai satu medium untuk sahabat-sahabat Kelab Iqra' UTHM dan juga seluruh warga kampus UTHM untuk bertanya soalan dan akan dijawab oleh ustaz-ustaz dari Pusat Islam UTHM dan juga beberapa ustaz-ustaz yang mahir dalam bidang masing-masing.

Berikut merupakan langkah-langkah yang perlu kita penuhi:

i.              Taip : http://ki-uthm.blogspot.com/


ii.             Sila lihat pada bahagian “Forum” di atas header blogger Kelab Iqra’ UTHM.


iii.            Klik Open link in a new tab.


iv.           Anda akan dibawa ke forum page. Anda akan melihat page seperti berikut:


v.            Sebelum anda ingin bertanyakan soalan, sila klik pada New Topic bagi memudahkan para pengunjung untuk melihat topik-topik yang telah disentuh.


vi.           Setelah memasukkan topik yang ingin ditanya atau dibincangkan, anda boleh memasukkan pesanan atau pertanyaan di page seterusnya.


vii.          Sekiranya sahabat-sahabat ingin membalasnya, cuma klik pada Reply yang terdapat seperti contoh di bawah:


Selamat mencuba J

Thursday, June 14, 2012

Menyemai Putik Cinta


“ Jika kita sayang pada sesuatu, pasti kita berusaha untuk mendapatkannya…”


Perasaan sayang merupakan naluri yang wujud dalam setiap insan. Persoalan yang timbul ialah bagaimana dan kemana perasaan sayang yang dianugerahkan kepada kita itu disalurkan? Adakah kearah kebaikkan ataupun kearah keburukkan? 

Perasaan sayang yang kita miliki itu, yang paling utamanya perlu disalurkan terlebih dahulu kepada Sang Pencipta iaitu Allah S.W.T. Kerana Dia, kita bernafas dan meneruskan hidup. Kerana dia juga kita mampu untuk menggerakkan bebola mata dan membaca artikel ini. Selepas itu barulah perasaan itu dikongsi bersama makhluk ciptaanNya. Ini yang sepatutnya berlaku.

Jadi, jika perasaan itu belum hadir, bagaimana caranya? Baiklah, seorang tokoh ilmuan islam yang terkenal iaitu Ibnu Qayyim al-Jauziyah telah  menggariskan beberapa tips untuk kita menyuburkan rasa cinta kita pada Allah S.W.T:

1. Membaca al-Quran dengan tertib dan memahami maksudnya.
2. Melazimkan amalan-amalan sunat.

“ Dan sentiasalah hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya” HR Bukhari

3. Sentiasa mengingati dan menyebut namaNya pada semua keadaan.
4. Utamakan perkara yang disukai oleh Allah daripada perkara yang disukai oleh diri kita.
5. Terapkan dalam hati kita nama-namaNya, sifat-sifatNya dan sentiasa perhatikan bukti kebesaranNya.
6. Renungkanlah pemberianNya.
7. Leburkanlah hati di hadapanNya dengan rasa hina, rendah diri, dan menginsafi diri.
8. Bermunajatlah di waktu akhir malam.
9. Mendampingi orang-orang yang mencintaiNya.Kutiplah kata-kata hikmah dari mereka yang soleh.


Jika ini merupakan permulaan kita, tidak mengapa. Buatlah sedikit demi sedikit tetapi istiqamah kerana itulah yang terbaik. 




Tuesday, June 12, 2012

Apa Ada Dengan Solat?



“Amal seorang hamba yang pertama kali dihisab kelak ialah solat, jika solatnya rosak, maka amal lainnya pun akan rosak.” 
(HR Thobrani)

Friday, June 8, 2012

Panduan dan Lokasi Bilik & Dewan Kuliah


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Di sini Kelab Iqra' UTHM ingin berkongsi panduan lokasi bilik dan dewan kuliah UTHM  kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi UTHM kemasukan Diploma sesi 2012/2013.

Semoga ianya memberi sedikit sebanyak info berkenaan kampus UTHM.

Always Smile With KI :)

Thursday, June 7, 2012

Majlis Iftar dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Poster Dakwah


Assalamualaikum..

Insya Allah pada malam ini, 7 Jun 2012, akan diadakan majlis berbuka puasa bersama Kelab Iqra' UTHM beserta dengan penyampaian hadiah bagi pemenang-pemenang pertandingan Poster Dakwah anjuran Kelab Iqra' UTHM

Majlis akan diadakan di Masjid UTHM bermula pada pukul 6.45 petang.

Ayuh bersam kita memeriahkan majlis pada malam ini dengan menghadirkan diri masing-masing.

**Makanan disediakan bagi yang berpuasa**

Monday, June 4, 2012

Lelaki Acuan Al-Quran

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Seorang Lelaki Yang Beriman
Yang Hatinya Disaluti Rasa Taqwa Kepada Allah SWT
Yang Sentiasa Haus Dengan Ilmu
Yang Sentiasa Dahaga Dengan Pahala
Yang Solatnya Adalah Maruah Dirinya
Yang Tidak Pernah Takut Berkata Benar
Yang Tidak Pernah Gentar Untuk Melawan Nafsu


Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Lelaki Yang Menjaga Tutur katanya
Yang Tidak Bermegah Dengan Ilmu Yang Dimilikinya
Yang Tidak Bermegah Dengan Harta Dunia Yang Dicarinya
Yang Sentiasa Berbuat Kebaikan Kerana Sifatnya
Yang Pelindung
Yang Mempunyai Ramai Kawan Dan Tidak Mempunyai Musuh Yang Bersifat Jembalang


Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Lelaki Yang Menghormati Ibubapanya
Yang Sentiasa Berbakti Kepada Kedua Orang Tua Dan Keluarga
Yang Bakal Menjaga Keharmonian Rumahtangga
Yang Akan Mendidik Anak-Anak Dan Isteri Mendalami Agama Islam
Yang Mengamalkan Hidup Penuh Kesederhanaan
Kerana Dunia Baginya Adalah Rumah Sementara Menunggu Akhirat
Lelaki Acuan Al-Quran Sentiasa Bersedia Untuk Agamanya
Yang Hidup Di Bawah Naungan Al-Quran Dan Mencontohi Sifat Rasulullah SAW
Yang Boleh Diajak Berbincang Dan berbicara
Yang Sujudnya Penuh Kesyukuran Dengan Rahmat Allah Ke Atasnya


Lelaki Acuan Al-Quran Tidak Pernah Membazirkan Masa
Matanya Kepenatan Kerana Kuat Membaca
Yang Suaranya Lesu Kerana Penat Mengaji Dan Berzikir
Yang Tidurnya Lena Dengan Cahaya Keimanan
Bangun Subuhnya Penuh Dengan Kecerdasan


Lelaki Acuan Al-Quran Sentiasa Mengingati Mati
Yang baginya Hidup Di Dunia Adalah Ladang


Sunday, June 3, 2012

HARUSKAH AKU MENGELUH?


Haruskah aku mengeluh? Sedangkan Allah SWT memberikan nikmat Islam kepadaku. Nikmat yang menerangi jalanku. Nikmat yang menunjukan jalan menuju keselamatan. Nikmat yang memberi petunjuk untuk bahagia dunia akhirat.


Haruskah aku mengeluh? Sedangkan aku dianugerahkan dengan ibu bapa yang bijak, yang menjadi inspirasi hidupku, yang membimbingku ke arah hidup yang lebih baik, yang membesarkan dan mendidikku, yang tidak pernah jemu menjaga dan memanjakan agar aku membesar sihat, kuat, dan cerdas, yang rela berkorban demi kebaikanku.



Haruskah aku mengeluh? Sedangkan aku dijodohkan dengan seorang isteri yang cantik dan penyabar, yang sentiasa menemani tatkala aku suka mahupun duka, yang sentiasa mendoakanku selepas solatnya, yang sentiasa memberikan dorongan agar aku terus bergerak, yang memberikan kekuatan ketika aku lemah, yang tanpa lelah melayani keperluanku.

Haruskah aku mengeluh? Sedangkan aku dikelilingi saudara-saudara yang baik hati. Saudara yang suka menghibur aku, saudara yang sentiasa sedia membantu aku. Saudara yang sering aku minta nasihat dan pendapat. Saudara-saudara yang sentiasa berjuang bersama demi kebaikan bersama. Saudara-saudara yang memberi semangat agar aku berani menjalani hidup.



Haruskah aku mengeluh? Sedangkan aku diberikan banyak kelebihan. Aku memiliki kemampuan belajar, aku memiliki kemampuan berbicara, aku memiliki kemampuan menulis, dan keyakinan bahawa masih mampu memiliki kemampuan-kemampuan yang lainnya.

Dan banyak lagi nikmat dari Allah yang tidak mampu aku sebutkan. Tidak terhitung banyaknya!
Jadi, mengapa harus aku mengeluh?


"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?"


 
 

Saturday, June 2, 2012

KI New Gen

video

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Bersempena dengan kemasukan mahasiswa/i kemasukan Diploma pada hari ini, 3 Jun 2012, Kelab Iqra' UTHM dengan ini menyediakan santapan ta'aruf dari Saff Kepimpinan Kelab Iqra' UTHM bagi sesi 2012/2013.

Semoga ukhwah yang akan kita bina terus mekar, disertai dengan redha-Nya, amin.

Terus Senyum Bersama Kelab Iqra' :D

boleh juga ditonton di youtube di link ini, http://www.youtube.com/watch?v=F1mK8EdRU60&feature=youtu.be

Selamat Datang



Kelab Iqra' UTHM dengan ini mengucapkan
"SELAMAT DATANG MAHASISWA/I BARU"
bagi sesi kemasukan diploma 2012/2013

Semoga Ukhwah yang akan dibina di bumi bertuah ini akan kekal berpanjangan

Ukhwahfillahi abadan abada

-KELAB IQRA' UTHM- 

Salam Imtihan


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakuth.

Kelab Iqra' UTHM ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir semester bagi pelajar-pelajar sarjana muda kampus UTHM

semoga dengan apa yang kita pelajari sepanjang semester ini dapat kita aplikasikan teorinya di dalam dewan peperiksaan dan secara praktikalnya di dalam kehidupan kita.

sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda yang kira-kira bermaksud "Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain"

Bittaufiq wannajah!