Program realiti televisyen pertama “Imam Muda” telah melabuhkan tirainya yang mana menyaksikan Imam Muda Asyaf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohamad Ridzuan memenangi pertandingan tersebut mengalahkan Imam Muda Hizbur (Hizbur Rahman Omar Zuhdi) dan lantas bergelar imam muda terunggul.
Program yang ditayangkan di siaran Astro Oasis menyaksikan sambutan yang begitu menggalakkan bukan sahaja dari Malaysia bahkan serata dunia. Antara media massa yang begitu tertarik dalam program Pencarian Imam Muda Terunggul ini ialah siaran Al-Jazeera.
Program yang mempamerkan bakat-bakat pemuda dalam melakukan pekerjaan sebagai seorang Imam Muda yang mana bukan sahaja mengimami solat 5 waktu , membaca khutbah bahkan turun kelapangan ummah untuk berdakwah dan melatih diri menjadi ikutan masyarakat setempat.
Idea program Imam Muda ini tercetus apabila melihat anak muda zaman ini mempunyai potensi untuk memikul tanggungjawab bukan saja sebagai seorang imam yang serba boleh tetapi juga pemimpin yang berwibawa, maka, Astro Oasis mengambil inisiatif mewujudkan program kerohanian Imam Muda dengan mendapat kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Program ini memberi landasan untuk memartabatkan status imam dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tanggungjawab sebenar seorang imam.
Kelab Iqra’ UTHM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Astro Oasis diatas usaha mereka dalam menghasilkan program-program realiti televisyen ini sementara pihak lain yang mana meletakkan pemuda sebagai generasi suka berhibur tanpa mendidik pemuda sebagai tenaga penting yang berwibawa dalam merentas arus kemodenan masyarakat hari ini.