Kepimpinan Kelab Iqra' UTHM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah diatas pertabalan baginda sebagai Yang Di Pertuan Agung ke 14..
Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid dari tahun 1946 hingga 1949.
Semasa menuntut di situ, baginda pernah bersemayam di asrama Kolej Sultan Abdul Hamid dan bergaul dengan pelajar-pelajar daripada pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat.
Sebagai seorang yang cintakan ilmu pengetahuan, baginda berangkat ke England pada Februari 1949 untuk melanjutkan pelajaran di Wadham College, Oxford dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.
Semasa di England iaitu pada 6 Ogos 1949, baginda telah ditabalkan sebagai Raja Muda Kedah.
Sekembali ke tanah air pada tahun 1955, baginda berkhidmat di Pejabat Daerah Kota Setar dan Pejabat Perbendaharaan Negeri.
Baginda bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah pada bulan Mac 1956 di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan.
Almarhumah merupakan puteri sulung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad yang juga Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.
Hasil perkahwinan diraja itu, Tuanku berdua dikurniakan tiga puteri iaitu Datuk Seri Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.
Pada 9 Mac 1957, baginda dilantik sebagai pemangku Sultan Kedah kerana Almarhum Sultan Badlishah telah berangkat ke luar negara pada 12 Mac hingga Julai 1957.
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menaiki takhta pada 14 Julai 1958 setelah ayahanda baginda Almarhum Sultan Badlishah mangkat.
Pada 20 Februari 1959, baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah ke-28 dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bahiyah sebagai Sultanah Kedah dalam satu istiadat gilang-gemilang di Balai Besar, Alor Setar.
Tuanku Sultan dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-5 antara tahun 1970 hingga 1975.
Pada 21 September 1970, baginda dan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah dilantik secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Abdul Malik (Tuanku Bendahara yang kemudiannya bergelar Raja Muda) telah dilantik sebagai Pemangku Sultan Kedah.
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah merupakan seorang putera raja yang berhemah tinggi. Baginda terkenal dengan pertuturan yang lemah-lembut dan bersopan santun. Baginda adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti dan tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.
Baginda amat mengambil perhatian hal ehwal agama dan rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda.
Keprihatinan baginda jelas terbukti apabila baginda berangkat setiap hari ke Wisma Darul Aman, Alor Setar iaitu pusat pentadbiran kerajaan negeri.
Baginda mahu merapatkan diri dengan kerajaan untuk memudahkan para pentadbir berunding dengan baginda tanpa mengambil masa menghadap di istana.
Menurut Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Menteri Besar boleh memberikan maklumat dengan mudah kepada baginda jika ada perkara mustahak yang perlu dibincangkan dan diselesaikan khususnya dalam menjaga keprihatinan rakyat jelata yang berada di bawah naungan baginda.
Hal itu diakui oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Kata beliau, baginda amat mengambil berat tentang pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.