Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,salam imtihan atau peperiksaan akhir pada semua mahasiswa dan mahasiswi sekalian. Diharap semua berada dalam segala nikmat dan rahmat yang dilimpahkan Allah S.W.T kepada kita, yang takkan pernah putus sehingga Hari Kiamat. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang dijanjikan Allah Syurga Firdaus sebagai balasan di Akhirat kelak.
Kini, semester pertama sesi 2010/2011 akan sampai ke penghujungnya dengan ketibaan Peperiksaan Akhir yang akan bermula pada 23 November kelak. Cukup singkat masa yang berlalu pergi meninggalkan kita.
Benarlah kata-kata Imam Ghazali r.a…
“Yang paling jauh daripada diri kita ialah masa yang lalu.”
Apakah yang kita telah lakukan sepanjang hampir satu semester yang lalu? Banyakkah ilmu yang ditimba dari lautan keilmuan ini? Optimumkah usaha kita dalam mengejar ilmu yang dicurahkan oleh para pensyarah kita? Berbaloikah kita selaku mahasiswa dan mahasiswi menggunakan kesempatan dan kelapangan masa dalam memproses ilmu Allah yang maha luas ini?
Peperiksaan akhir semester ini tarikhnya sudah hampir. Persediaan mahasiswa mahasiswi semua tentu sekali amat hebat dalam menempuhnya. Segala macam ulangkaji dan latih tubi telah kita lakukan demi menghadapi hari peperiksaan kelak supaya kita tidak tergelincir mendapat Purata Nilai Mata(Grade Point Average) yang rendah.
Terakam dalam Kalamullah kata-kata yang mengingatkan manusia bersama;
“Bacalah dengan nama tuhanmu yang telah menciptakan“ (Surah Al-Alaq :1)
Menyingkap kembali sirah Muhammad S.A.W, ketika baginda beruzlah, membebaskan diri baginda dari hiruk pikuk kota Mekah, demi mencari Tuhan Yang Hakiki. Ayat di atas adalah ayat yang pertama sekali yang disampaikan oleh Jibril a.s pada baginda, menunjukkan betapa pentingnya ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Dengan ayat ini, jelaslah penekanan membaca supaya memperoleh ilmu pengetahuan, adalah unsur paling utama untuk mencapai kejayaan di duniawi dan ukhrawi.
Tatkala Allah menciptakan Adam a.s untuk dijadikan Khalifah (penguasa) di muka bumi, Adam a.s diperlengkap dengan persediaan ilmu pengetahuan, bukan dengan persediaan material dan harta benda.
“Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya...” (Surah Al-Baqarah : 31)
Kita seharusnya menggunakan peluang yang dihidangkan oleh Allah di bumi UTHM ini untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin. Ingatan pada diri saya yang kerdil ini dan juga semua penuntut UTHM, peranan khalifah bukan hanya sebagai pengurus dan pentadbir tetapi juga tugas khalifah menggalas satu tugasan wajib iaitu berdakwah untuk meluaskan syiar Islam di muka bumi. Maka, jadikanlah peperiksaan akhir pada kali ini salah satu cabang kerja dakwah kita. InsyaAllah!
Sebagaimana hebat sekalipun persediaan kita menghadapi peperiksaan akhir, persediaan dari sudut kerohanian tidak boleh ditinggalkan sebagai seorang muslim. Pemusatan amal ibadat kita haruslah diteruskan dan dibanyakkan. Saya ingin berkongsi sedikit amalan yang mungkin boleh diamalkan oleh semua mahasiswa dan mahasiswi dalam menyiapkan mental bagi menghadapi peperiksaan akhir yang bakal menjelang tiba..
• Kerapkan berdoa dan bertaqarrub (berserah diri) pada Allah s.w.t • Berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat kecemerlangan • Perbanyakkan solat hajat dan tahajud, untuk kekuatan ruhiyyah selaku hamba Allah • Sentiasa mohon restu daripada kedua ibu-bapa, mohon maaf kepada pensyarah, sahabat-sahabat
sepengajian. • Lazimi diri dengan sentiasa membaca Al-Quran, letakkan sasaran sehari sehelai .
• Jadikan kismis makanan harian dan kurangkan makanan ringan
Pada ruang yang tak seberapa ini, saya dan saff kepimpinan Kelab Iqra’ sesi 2010 mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh masyarakat UTHM, khususnya kepada mahasiswa dan mahasiswi. Tingkatkan pergantungan kepada Allah dan kejayaan pasti menjadi milik anda!
Akhir kata, selamat menempuh peperiksaan akhir kali ini, semoga saya dan anda semua beroleh kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Ingatlah dunia merupakan ladang bagi akhirat.
“Barangsiapa yang inginkan dunia maka dia perlu berilmu, barangsiapa yang inginkan akhirat maka dia perlu berilmu dan barangsiapa yang inginkan kedua-duanya maka hendaklah dia perlu berilmu.”
Selamat Maju Jaya kepada semua
Ikhlas dari,
Muhammad Faridz bin Ismail -Pengerusi Kelab Iqra' sesi 2010/2011-
|