Tuesday, December 14, 2010

Inspirasi Teman Antara Mahasiswa 2010


Firman Allah s.w.t:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh.(Itu telah menjadi) Janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” 

(Surah At Taubah, Ayat 111)
 Inspirasi Teman Antara Mahasiswa (In TeAM ’10) telah menamatkan programnya pada 13hb Disember yang lepas. In TeAM 2010 yang bertempat di Sari Mawar Chalet & Camp Site itu disertai hampir 40 orang peserta yang  kebanyakannya terdiri daripada sahabat IQRA’ UTHM .

Dengan bertemakan “Kepimpinan Teras Keunggulan Islam”,program selama 3 hari 2 malam tersebut memberi impak yang cukup banyak kepada peserta program tersebut.

2 sesi ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Shahrir bin Haji Abdul Mutallib Al Hafiz bertajuk “ Tanggungjawab saya sebagai seorang muslim” dan Ustaz Al Abqori iaitu “ Syariah Islam dan Sistem Islam” diyakini dapat memberi kefahaman yang lebih mengenai Islam  kepada semua peserta In TeAM 10 pada kali ini . Aktiviti-aktiviti PDK ( Perbincangan Dalam Kumpulan ) yang dijalankan selepas setiap ceramah diadakan mampu memberi ruang untuk para perserta memahami kuliah yang disampaikan dengan lebih mendalam lagi.

Pelbagai aktiviti yang menarik telah dijalankan antaranya “Night Walk” atau berjalan malam , debat dan juga Latihan Dalam Kumpulan (LDK).Tidak ketinggalan modul “Chef Halal” yang mana semua peserta dikehendaki untuk memasak sendiri makanan malam mereka dalam kuantiti yang besar. Masakan mereka bukan sahaja dinikmati oleh para peserta bahkan semua ahli jawatankuasa program dan fasilitator juga.

Pada malam terakhir, para peserta melakukan “Night Walk” dan juga modul “Burung Hantu”. Aktiviti berjalan malam merupakan satu aktiviti yang agak mencabar lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan apabila mata tertutup.Modul “burung hantu” pula adalah modul dimana semua peserta ditinggalkan berseorangan didalam hutan dalam jangka masa 15 minit dengan mata tertutup.Walaupun mereka “rasa” ditinggalkan berseorangan namun , sebenarnya AJK tetap memerhati keadaan mereka.

Dalam majlis penutupan program, Penasihat Kelab IQRA’, Ustaz Mohd Shahrir bin Haji Abdul Mutalib Al Hafiz berkata “Program In TeAM ini merupakan salah satu usaha Kepimpinan Kelab IQRA’ UTHM untuk melahirkan mahasiswa/i yang baik akhlaknya dan teguh aqidahnya”.

Jutaan ucapan terima kasih kepada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) ,Pusat Islam (PI) dan semua pihak yang banyak memberi kerjasama dalam menjayakan program In TeAM ’10 pada kali ini. Segala jasa dan kerjasama  yang diberikan hanya mampu dibalas oleh Allah s.w.t.
  



-       Iqra’ kini      -