Assalamualaikum w.t.h
Bismillahirrahmanirrahim
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W
Jari jemari ini terasa tidak senang rasanya tanpa menulis sesuatu untuk menambah ilmu di hati. Lantas butang “keyboard” komputer riba ditekan satu persatu. Termenung memikirkan isi apa yang bakal dititipkan atas satu tajuk yang cukup besar dan bermakna.
Mungkin buku karangan Michael H. Hart "The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History " yang dikarang pada 1978 cukup untuk memberi gambaran mengenai apa yang ingin saya puitiskan pada hari ini. Buku yang meletakkan “Penghulu Segala Rasul “ itu sebagai Juara yang paling berpengaruh didalam sejarah dunia telah membuktikan tiada apa yang mustahil bagi Muhammad.
Sayangnya, siapa itu Muhammad, jarang kita endahkan dengan anggapan kita sudah mengenali Muhammad itu. Ataupun kita sekadar mengambil kesempatan dengan pengetahuan yang terhad, yang diperoleh semasa kecil-kecil dahulu.
Adakah kita mengingati Nabi Muhammad dengan sekadar mengingati siapa dirinya dan bukan melaksanakan apa ajarannya?
Saya pernah menonton sebuah video yang di muat naik dalam “Youtube” mengenai sebuah rancangan realiti televisyen Arab, dimana seorang muslimat di dalam video itu ditanyakan mengenai apa yang akan dilakukan jika bertemu Nabi Muhammad S.A.W?
Lantas air mata diri ini tertumpah mendengarkan jawapan darinya yang inginkan Rasulullah membawa dia pergi dari dunia ini bersama baginda.
Dan akuilah dengan nama ALLAH yang Maha Mengetahui saya amat merindui baginda Muhammad S.A.W. Sesungguhnya hati ini mengetahui baginda juga merindui saya.
Dan hari ini saya menyeru semua sahabat dan sahabiah ,marilah kita meletakkan kecintaan kita kepada Rasulullah S.A.W dengan memperjuangkan ajarannya.Ajaran yang dibawa dengan mempertaruhkan jiwa dan raga . Ajaran yang meletakkan Islam itu tinggi melebihi segala-galanya sekalipun nyawa dan harta.
Dan akhir kata,marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar nabi kita.
Nasaie dan Ibnu Hibban pernah meriwayatkan, Nabi Muhammad bersabda “Sesungguhnya orang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”
Firman Allah s.w.t:
Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada nabi. Wahai orang-orang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (al-Ahzab: 56)
Penulis ialah:
Sahabat IQRA’ Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ( SI 20100076)
Timbalan Pengerusi Kolej Kediaman Melewar (KKM)
Timbalan Pengerusi Kelab Pendidikan Teknik Dan Vokasional (KPTV)
Ukhti Siti Juwairiyah binti Ali