Assalamualaikum sahabat-sahabat mahasiswa dan mahasiswi UTHM yang disayangi dan dikasihi kerana Allah sekalian. Apa khabar anda semua? Semoga sihat walafiat sentiasa di dalam nikmat dan hidayahNya. Insya Allah, pada kali ni kita akan berkongsi sedikit ilmu berkenaan tahun baru Islam iaitu pada 1 Muharram yang juga seringkali disebut sebagai Maal Hijrah.
Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan hari dan tarikh yang sepatutnya tidak asing lagi bagi seluruh umat Islam. Pada hari ini, terdapatnya satu peristiwa yang sangat penting dalam agama Allah ini iaitu penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dan umat Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Peristiwa ini berlaku pada tahun pertama Hijrah iaitu pada tahun 622 Masihi yang juga dikenali sebagai 1 Muharram. Tarikh ini digunapakai sebagai hari pertama dan tahun baru bagi Takwim Hijrah.
Jika kita lihat bulan Muharram itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Muharram merupakan salah satu daripada 12 bulan-bulan Islam yang mana tidak diubah namanya sejak dari zaman sebelum kerasulan nabi Muhammad s.a.w. Muharram bermaksud "sesuatu yang diharamkan", iaitu dalam konteks ini Allah s.w.t telah mengharamkan peperangan dan pertumpahan darah yang seringkali berlaku pada zaman sebelum kerasulan nabi Muhammad s.a.w. Namun, setelah peristiwa pembukaan semula kota Mekah, peperangan dan pertumpahan darah telah ditamatkan dan seluruh umat manusia ketika itu hidup dalam keadaan yang harmoni.
Mengapa 1 Muharram dijadikan sebagai titiktolak tarikh dalam takwim Islam? Pengambilan ini berlaku pada ketika zaman pemerintahan Saiyyidina Umar al-Khattab r.a. Pada ketika itu, Amirul Mukminin merasakan perlunya ada satu tarikh yang boleh dijadikan rujukan dalam urusan surat-menyurat kerana amat sukar bagi Amirul Mukminin membalas surat yang tidak diketahui tarikhnya. Lalu Amirul Mukminin mengambil tarikh hari pertama penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dan umat Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Semenjak dari itu, tarikh 1 Muharram digunapakai sebagai tahun baru dalam Takwim Islam.
Insya Allah, pada 27 November 2011 ini kita akan menyambut 1 Muharram 1433H. Semoga dengan kedatangan tahun baru Islam ini kita akan dapat mempertingkatkan iman dan ketaqwaan kita kepada Allah, Tuhan Yang Menciptakan sekalian makhluk, amin...