Tuesday, January 3, 2012

Isu Mahasiswa : Pandangan dan Pendirian Mahasiswa


Saban hari kita mendengar, malah ada yang melihat dengan mata sendiri peristiwa yang sangat menyedihkan. Apabila kuasa yang ada tidak menyebelahi yang hak, maka akan ada suara-suara yang ditakrifkan sebagai suara pembangkang yang sentiasa membangkang apa sahaja keputusan atau tindakan yang diambil oleh sesetengah pihak.

Kali ini, Kelab Iqra’ UTHM ingin menyatakan pendirian dan beberapa pandangan peribadi mengenai isu MAHASISWA yang semakin hangat diperkatakan saat ini.

Jika suatu masa dahulu golongan mahasiswa merupakan satu golongan di tengah-tengah masyarakat majmuk Malaysia. Golongan ini merupakan golongan intelektual dan mereka seringkali dianggap hebat dan pandai dek kerana ketinggian ilmu yang ada pada mereka. Pada masa dahulu, walau apa jua bidang yang diceburi oleh para mahasiswa, mereka akan disanjung tinggi, lebih-lebih lagi jika mahasiswa itu lahirnya dari kampung dan keluarga yang susah.

Apa yang menyedihkan telah berlaku pada masa sekarang. Mahasiswa tidak lagi dianggap seperti dahulu. Malah ada yang mengatakan mahasiswa sekarang sudah pandai melawan, tunjuk belang, pijak kepala, tidak mengenang budi dan sebagainya. APAKAH YANG SEBENARNYA BERLAKU? PERLUKAH ADA PEMBANTAIAN DAN PERTUMPAHAN DARAH YANG BERLAKU DEMI UNTUK MELERAIKAN PERHIMPUNAN TERSEBUT?

Kelab Iqra’ UTHM melihat isu ini perlu dimurnikan dan diberi pencerahan. Persoalan utama di sini adalah “Mengapa para mahasiswa ini membantah beberapa perkara yang tertentu?

Sudah menjadi norma atau fitrah manusia iaitu akan membantah sekiranya kepentingan diri tidak dipenuhi. Namun dalam konteks isu semasa yang berlaku pada masa kini, ianya bukan hanya kepentingan diri sahaja, malah ianya melibatkan kepentingan suatu kelompok dalam masyarakat Malaysia yang dinamakan MAHASISWA.

Isu ludah mahasiswa, bantai mahasiswa, pukul mahasiswa, tahan mahasiswa dan sebagainya merupakan satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku. Sekiranya para mahasiswa ini salah, maka saranan daripada pihak Kelab Iqra’ UTHM adalah pihak pemimpin atau yang berkuasa perlu memanggil mahasiswa ini untuk berbincang secara damai atau lebih dikenali sebagai slow talk. Kaedah ini lebih berkesan daripada memukul, menahan dan membantai golongan   yang berdarah muda dan bersemangat tinggi ini.
Detik cemas semasa Perhimpunan Mahasiswa UPSI

Memang tidak dinafikan bahawa tugas penjawat awam seperti polis dan pasukan keselamatan adalah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman negara, namun tidaklah perlu sehingga kepada pembantaian. Pihak pemimpin juga perlu memandang isu ini secara professional dan bukan hanya melihat dari sudut kepentingan diri dan kesalahan mahasiswa semata-mata.

Perlu diingatkan bahawa golongan mahasiswa merupakan generasi intelek dan juga pewaris kepada kepimpinan negara. Sekiranya golongan ini membangkang pihak pemimpin, hal ini mungkin disebabkan ada kekurangan atau kelemahan terhadap beberapa sistem pemerintahan atau undang-undang yang tidak lagi relevan atau perlu dimansuhkan.
Salah seorang mahasiswa yang mengalami kecederaan

Merujuk kepada isu semasa pada hari ini, iaitu suara mahasiswa yang menginginkan beberapa perkara dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan. Mengapa golongan mahasiswa memperjuangkan pemansuhan AUKU walaupun telah diumumkan bahawa beberapa perkara dalam AUKU akan dipinda? Hal ini kerana adanya perbezaan yang sangat-sangat ketara antara PINDA dan MANSUH.

Perlu diingatkan juga, golongan mahasiswa merupakan golongan yang sangat terdedah dengan dunia pada masa sekarang. Pandangan seorang mahasiswa merupakan suatu pandangan emas sepertimana berharganya ilmu yang ada pada diri mahasiswa tersebut. Amat sedih sekali apabila ada pihak yang mempersoalkan rasa kebangsaan dalam diri mahasiswa. Kelab Iqra’ UTHM dengan ini ingin menyatakan bahawa kerana rasa kebangsaan itulah mahasiswa berjuang sepertimana yang kita lihat hari ini.

Safwan Anang yang terlantar koma selepas dipukul oleh pihak polis

Sebelum mengakhiri bahasa-bahasa indah ini, pihak kami dengan ini ingin berkongsi satu ayat yang dirasakan perlu direnungkan dan disampaikan:

Andai kita ingin melihat Malaysia maju, lihatlah mahasiswanya. Sekiranya mahasiswanya hanya mengikut arus, maka yakin dan percayalah bahawa Malaysia akan tetap berada ditakuk lama. Akan tetapi, sekiranya mahasiswanya menentang arus, maka lihatlah suatu hari kelak Malaysia akan berada pada zaman kegemilangannya yang berlandaskan syariat Islam yang syumul.

Apa yang baik itu datangnya daripada Allah ‘azza wa jalla, yang buruk itu di atas tangan editor yang menulis keluaran kali ini namun hakikatnya semuanya Allah yang punya. Ingatlah! Kita akan ditanya tentang amalan kita di dunia. Maka, berbuat baik dan adillah semasa kita hidup.

Semoga keluaran ini disampai-sampaikan pada kawan-kawan. Wallahu'alam.

Wabillahitaufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kelab Iqra’ UTHM
Membina Generasi al-Quran