Thursday, September 9, 2010

PERUTUSAN AIDILFITRI

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,
laa ilaha illAllahu akabar.
Allahu akbar wa Lillah ilhamd

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,


Hari ini kita berkumpul dalam satu perhimpunan besar sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T. kerana berjaya melaksanakan perintah-Nya. Aidil Fitri mengingatkan kita kepada nikmat agama Islam yang menghimpunkan hati kita dalam dalam perpaduan ummah yang kukuh. Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama meneruskan azam dan tekad untuk tetap berada dalam ikatan ukhuwah Islamiah yang sejati dengan melakukan amalan ziarah menziarahi dan bermaafan di hari raya ini agar kemesraan terus berkekalan.
Dalam sebuah hadis, baginda Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Dan demi nyawaku dalam genggaman-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman sepenuhnya dan kamu tidak beriman sehingga kamu sayang menyayangi antara kamu, apakah kamu suka aku tunjukkan sesuatu yang mana jika kamu membuatnya nescaya kamu akan berkasih sayang, ia adalah memberi salam di kalangan kamu.”

Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal ini, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan al-Quran dan Sunnah, marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawaduk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara kepimpinan yang menentukan dasar dan halatuju negara dengan panduan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,

Mahasiswa mahasiswi UTHM yang dikasihi Allah s.w.t sekelian

Dalam merayakan hari yang mulia ini, marilah kita raikan kegembiraan menurut kemampuan diri kita dengan menjauhi daripada sifat boros dalam berbelanja hingga berlakunya pembaziran atau terlalu kedekut sehingga mengekang perut menjadi kelaparan.

Firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Furqan : Ayat 167

Maksudnya :

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui batas dan tiadalah bakhil kedekut dan (sebaliknya), perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara ( boros dan bakhil ) itu.”

Sesungguhnya perbelanjaan yang paling baik ialah yang bersederhana.Lebih-lebih lagi hari raya adalah merupakan hari ibadah. Maka kita hendaklah berusaha supaya kegembiraan dalam berhari raya tidak sesekali bercampur aduk dengan perkara-perkara berbentuk maksiat serta pembaziran kerana ia amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Akhirnya, setelah bergembira merayakan Aidil-Fitri, sama-samalah pula kita teruskan semangat Ramadhan yang tertanam di jiwa dengan melaksanakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal sebagaimana yang dituntut kepada kita melakukannya.

Sabda Rasulullah S.A.W yang berbunyi:

Maksudnya : “ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, dan diikuti dengan enam hari di Bulan Syawal, maka ia seumpama berpuasa sepanjang tahun ”. (Hadith Riwayat Muslim)

Pada akhir rangkaian kata saya, saya disini bersama-sama ahli Majlis Tertinggi Kelab IQRA’ yang lain ingin mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua sahabat IQRA’ dan mahasiswa/i Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,
Allahu akbar wa Lillah ilhamd

Ikhlas dari;

Muhammad Faridz bin Ismail
Presiden Kelab IQRA’ sesi 2010/2011

~Iqra’ kini~