Kisah mengenai kehebatan anak muda sejak dari dulu lagi sering diperkatakan. Bukan hanya dapat kita lihat dari kaca televisyen, malah kitab suci al-Quran turut menceritakan tentang kehebatan dan kekuatan yang ada pada anak muda.
Jika kita imbas kembali zaman kanak-kanak dahulu, pada ketika itu kita didedahkan dengan hero-hero daripada buku-buku komik seperti Superman, Spiderman, Batman, Robin dan lain-lain lagi. Semuanya merupakan lambang dan simbolik kekuatan yang ada pada anak muda.
Pada masa yang sama, kita jika singkap sirah dan riwayat Islamiyah, kita akan dapati ramai anak muda Islam pada zaman dahulu turut mempamerkan kehebatan dan kekuatan mereka di arena perjuangan Islamiyah.
Di antaranya adalah, Saidina Ali bin Abi Thalib. Beliau merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam bersama-sama dengan Saidina Abu Bakar as-Siddiq pada masa Nabi Muhammad mula-mula diangkat menjadi Rasul. Usia beliau adalah 32 tahun lebih muda daripada Rasulullah s.a.w.
Kecerdasan dan keberanian Ali sangat menonjol di kalangan kaum Quraisy. Semasa masih kanak-kanak, beliau telah menentang tokoh-tokoh Quraisy yang mencemuh Nabi Muhammad s.a.w. Ketika Nabi Muhammad s.a.w berhijrah dan kaum Quraisy telah menghunus pedang untuk membunuhnya, Ali tidur di tempat tidur Nabi Muhammad s.a.w serta mengenakan selimut yang dipakai oleh Rasulullah.
Di medan perang, beliau adalah ahli tempur yang sangat disegani. Baik di perang Badar, Uhud hingga Khandaq. Namanya semakin sering dipuji setelah beliau berhasil meruntuhkan gerbang benteng Khaibar yang menjadi pertahanan terakhir Yahudi. Menjelang Rasulullah s.a.w menunaikan ibadah haji, Ali ditugaskan untuk melaksanakan misi ketenteraan ke Yaman dan misi tersebut dilakukannya dengan baik.
Mengenai kecerdasannya, Nabi Muhammad s.a.w pernah memuji Ali dengan kata-kata: “Saya adalah kota ilmu dan Ali adalah gerbangnya.” Kefasihan bicara Ali dipuji oleh banyak para sahabat. Rasul SAW kemudiannya menikahkan Ali dengan puteri bongsunya, Fatimah Az-Zahra. Setelah Fatimah Az-Zahra wafat, Ali menikahi Ashma’, balu yang dua kali ditinggal mati oleh suaminya, iaitu Ja’far bin Abi Thalib dan Khalifah Abu Bakar.
Selain daripada Saidina Ali Karamallahu wajah, salah satu nama yang tidak asing bila disebut tentang kehebatan pemuda Islam adalah Saidina Umar al-Khattab r.a. Beliau memeluk Islam pada ketika usianya 33 tahun. Walaupun begitu, beliau merupakan seorang anak muda dari kaum Bani Adi. Kaumnya dikenali dengan kemegahan, ketegasan, kekuatan dan kehebatan dari segenap aspek yang melibatkan tenaga dan kekuatan.
Saidina Umar merupakan seorang yang gagah dan berani, lebih-lebih lagi setelah memeluk Islam.
Sebelum memeluk Islam, beliau sangat kuat dan berani menentang Rasulullah s.a.w sikap beliau sangat ditakuti oleh orang-orang yang memeluk agama Islam. Beliau tidak gentar mengisyitiharkan dirinya telah memeluk Islam secara terbuka di khalayak ramai. Setelah memeluk Islam, beliau berani menunaikan ibadat secara terang-terangan di hadapan orang ramai. Beliau memberi cadangan kepada Rasulullah s.a.w supaya ajaran Islam disebarkan secara terbuka kepada orang ramai. Beliau mencabar orang kafir Quraisy supaya menghalang Rasulullah s.a.w daripada berpindah ke Madinah. Oleh kerana ketegasan dan keberaniannya itulah, maka beliau diberi gelaran “al-Faruq”.
Ketika berhijrah ke Madinah, ramai orang Islam yang keluar dari Kota Mekah secara bersembunyi, tetapi Umar keluar secara berterang-terangan. Pedang di tangannya sedia menghunus kepada sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya.
Tokoh yang tidak kurang hebat namanya di persada anak muda Islam adalah Sultan Muhammad al-Fateh, iaitu putera kepada Sultan Murad.
Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Adrianapolis yang terletak di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) adalah seorang yang soleh, handal dalam perang dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad menjadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.
Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Ini cukup untuk menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.
Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinopel tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian.
Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah kerajaan Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad menjalankan urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah beliau menjawat jawatan khalifah secara rasmi. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.
Sultan Muhammad al-Fateh merupakan seorang sultan yang sangat berusia muda pada ketika beliau membuka Kota Konstantinopel. Baginda dan tenteranya merupakan generasi yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabda baginda: “Kota Konstantinopel itu akan dibuka. Maka, sebaik-baik raja adalah rajanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”.
Begitulah beberapa siri sirah dan riwayat mengenai kehebatan anak muda Islam pada zaman dahulu.
Cuba kita serapkan dalam konteks mahasiswa dan mahasiswi Muslim pada hari ini. Kita merupakan penyambung kepada kegemilangan Islam di negara yang dicintai. Anak muda atau mahasiswa merupakan aset negara untuk mengangkat martabat negara dan agama ke arah mardhatillah. Oleh itu, Kelab Iqra’ UTHM mengajak supaya semua mahasiswa dan mahasiswi UTHM untuk sama-sama kita membina generasi al-Quran dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan Islam di samping mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Wallahu’alam.