Friday, March 11, 2011

Masa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnianNya kita semua, seluruh umat manusia pada hari ini masih dapat merasa nikmat hidup di dunia ini walaupun seringkali kita terleka akan ‘kehadiranNya’ di sisi kita. Namun, nikmat tetap dikurniakan kepada seluruh umat manusia.

Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat yang bersama-sama memperjuang Islam sama ada pada zaman baginda ataupun tidak, para tabi’, tabi’ tabi’in dan golongan yang mengikuti mereka sehingga terbenamnya matahari di sebelah barat.

Firman Allah dalam kalamNya yang suci:



Yang bermaksud: “Dan demi masa![1] Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian.[2] Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. [3]”

Allah telah berpesan dan juga mengingatkan kepada kita akan kehadiran satu entiti yang bernama MASA. Kenapa Allah bersumpah dengan masa? Kerana ianya adalah elemen yang manusia sering lupa, walaupun menggunakan jam di tangan dan di mana-mana sahaja. Ada yang sedar dan peka akan masa, malah tidak kurang juga ada yang leka dan alpa dengan masa mereka sendiri.

Mengapa pula disebutkan “sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian”? Hal ini kerana, hanya makhluk yang bernama manusia sahaja yang dikurniakan masa. Makhluk lain tidak mempunyai masa yang spesifik dalam kehidupan masing-masing.

Setiap insan dikurniakan masa sebanyak 24 jam, tidak ada yang lebih dan tidak ada yang kurang. Bergantung kepada individu tersebut untuk menggunakan dan mengurus masa mereka sendiri.

Pepatah arab ada mengatakan: “Masa itu ibarat pedang. Jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu

Benarlah pepatah Arab tersebut. Ianya diibaratkan seperti kita sedang berperang yang menggunakan pedang dan senjata biasa. Setiap saat di dalam peperangan tersebut amat berharga dan tidak mungkin bagi kita untuk mensia-siakan masa yang ada dalam peperangan untuk membunuh musuh di hadapan. Sekiranya kita lambat bertindak, kita pula yang akan dibunuh oleh musuh.

Juga, pepatah Arab mengatakan bahawa Masa itu emas. Sesiapa yang memilik emas sudah pastinya akan menjaga emas masing-masing sebaik mungkin dan tidak mungkin bagi mereke untuk menyerahkan emas tersebut kepada sesiapa dengan sesuka hati mereka. Manakala, bagi mereka yang mempunyai emas yang banyak, sudah pasti akan dipandang sebagai seorang yang mulia dan kaya raya. Begitulah juga halnya bagi mereka yang mementingkan masa mereka.

Masa itu ibarat emas kerana ianya sangat-sangat berharga bagi mereka. Satu saat yang dibiarkan dengan bersahaja sudah pastinya mengundang penyesalan di hati mereka. Maka, mereka dengan sedaya upaya akan menjaga masa tersebut daripada perkara-perkara yang sia-sia.

Di dalam Islam, masa ini ada 5 seperti mana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Maka perlu bagi kita untuk mengingati 5 masa ini sebelum datangnya 5 masa yang lain iaitu; masa sihat sebelum masa sakit, masa muda sebelum masa tua, masa kaya sebelum masa miskin, masa lapang sebelum masa sempit, dan masa hidup sebelum masa mati.

Semoga kita menjadi insan yang digolongkan dalam golongan yang menjaga masa, walauapapun aktiviti dan perancangan kita untuk diri kita, insya Allah.

Wallahu’alam.