Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di dunia, khususnya seluruh warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor. Tanpa disedari, kita telah memasuki 11 Syawal pada tahun ini. Kami pasti semua warga UTHM kini meneruskan rutin harian masing-masing. Ada yang memulakan kerja sebagai pendidik di UTHM, ada yang bersiap-siap untuk pulang ke kampus, malah ada juga yang baru menjejakkan kaki ke kampus UTHM. Walaubagaimanapun, semuanya hendaklah dilakukan seikhlas hati.
Pada masa ini juga, sudah pastinya ada di kalangan warga UTHM yang telah memulakan puasa enam di bulan Syawal yang penuh mulia ini. Tidak kurangnya juga ada rumah-rumah yang bertungkus-lumus membuat rumah terbuka sama ada secara berkumpulan ataupun secara persendirian.
Puasa enam di bulan Syawal ini mempunyai banyak kebaikannya. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda yang telah diriwayatkan oleh Muslim yang kira-kira bermaksud: "Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan, lalu ia mengiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seakan-akan ia telah berpuasa setahun". Subhanallah, sangatlah berharga dan bernilainya puasa enam di bulan Syawal ini meskipun ianya sekadar puasa sunat.Puasa enam di bulan Syawal ini juga mampu menampung puasa wajib di bulan Ramadhan.
Persoalan yang mungkin timbul yang berkaitan dengan puasa enam ini mungkin berkenaan dengan niat puasa enam dan puasa qadha'. Yang mana satu menjadi keutamaan? Sebenarnya, dibolehkan untuk berniat puasa serentak iaitu puasa enam dan qadha' sekali. Hal ini demikian kerana, isteri Rasulullah s.a.w iaitu Aisyah r.a telah menggantikan puasanya pada bulan Syawal yang disertakan dengan niat puasa sunat. Jadi, adalah dibolehkan untuk berpuasa serentak.
Oleh itu, kepada kawan-kawan dan juga seluruh warga UTHM sekalian marilah kita sama-sama mencari ruang dan peluang dalam mendapatkan kesempatan untuk 'melengkapkan' puasa Ramadhan kita dengan berpuasa enam di bulan Syawal yang mulia ini.
Kepada kawan-kawan yang belum lagi mendapat 'jemputan' ke rumah terbuka, apakata kita sama-sama enam sementara menunggu 'jemputan' itu tiba.
Sekian, wallahualam.