Wednesday, September 7, 2011

Ucapan Selamat Datang kepada Mahasiswa Baru

Bismillahir rahmanir rahim,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang telah menciptakan langit dan bumi serta isinya. Juga, segala puji dan syukur ke atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada seluruh alam tanpa ada perbezaan di antara makhluk. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat, serta muslimin dan muslimat yang telah memperjuangkan Islam dari dulu sehingga sekarang.

Pada hari ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah menerima kedatangan mahasiswa dan mahasiswi kemasukan baru bagi sesi 2011/2012. Syabas dan tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya hadir dan melaporkan diri pada hari ini.

Mahasiswa Mahasiswi sekalian,
Perjuangan dalam bidang akademik bukan bermula apabila kita berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, tetapi ianya bermula sejak tangisan kita yang pertama selepas kita melihat dunia yang penuh dengan cabaran ini.

Berjuang dalam medan akademik memerlukan pengorbanan yang tulus dan ikhlas kerana ianya pasti akan menguji kecekalan dan ketabahan seseorang individu yang menuntut ilmu. Oleh itu, kebergantungan kita kepada Tuhan amatlah diperlukan kerana ia sememangnya berkait rapat dengan rohani dan jiwa kita yang lemah.

Berdasarkan misi UTHM iaitu: “Untuk melahir dan melatih ahli professional dan teknologi yang bersahsiah mulia dan berdaya saing di arena global melalui program akademik holistik dan pembudayaan ilmu serta penyelidikan yang berteraskan konsep tauhid” maka seharusnyalah setiap warga UTHM melibatkan diri secara langsung ataupun tidak dalam program akademik yang berlandaskan kerohanian. Dengan cara ini, kita bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, malah kita juga akan berjaya dalam membentuk sahsiah dan peribadi insaniah dalam diri kita.

Akhir kata, selamat maju jaya dalam menempuh kejayaan sepanjang anda bergelar mahasiswa mahasiswi UTHM.


Dengan Hikmah Kita Meneroka