"...dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang terbiasa terlihat (tapak tangan dan wajah). Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya).."
Ayat di atas diambil daripad petikan surah an-Nur ayat 31 yang menjelaskan mengenai tuntutan meuntup aurat terutamanya kepada kaum hawa. Allah s.w.t telah menekankan supaya kaum Hawa menutup aurat mereka sebanyak 2 kali dalam ayat di atas dan melabuhkan kerudung ke dada supaya terlindung bentuk tubuh badan mereka.
Namun, apa yang menyedihkan pada hari ini adalah ramai kaum Hawa seakan-akan tidak mahu menerima tuntutan yang langsungnya dari pencipta kita. Ramai yang mengatakan bahawa mereka yang bertudung labuh juga melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Malah, ada juga yang mengatakan "biarlah tidak mengenakan tudung asalkan hati baik, bukankah Allah tidak melihat rupa tetapi hati?"
Pandai sungguh golongan sebegini berkata-kata jika bab ini ditujukan kepada mereka. Masakan tidak! Ada yang mengenakan tudung tetapi berpakaian ketat, dari atas sehinggalah sampai ke bawah. Hal sebegini amat memalukan.
Sebaiknya, gunalah pakaian yang labuh dan longgar kerana ianya lebih sejuk dan selesa mata memandang.
Ada yang mengatakan bahawa menutup aurat ini kuno, ketinggalan zaman, tidak selari dengan arus kemodenan dan sebagainya. Siapa kata dengan menutup aurat kaum Hawa tidak boleh berfesyen dan mengikut arus kemodenan. Sudah pasti boleh tetapi dengan syarat bahawa fesyen tersebut tidak melanggar etika berpakaian yang dilandaskan syariat seperti tidak berpakaian ketat, jarang, nipis dan pendek.
Mereka yang mengenakan tudung tetapi memakai pakaian yang seperti disebut di atas diaktegorikan seperti "berpakaian tetapi berbogel". Mungkin agak kasar bahasa yang digunakan, tetapi ianya sudah cukup jelas dan nyata untuk menerangkan mengapa perlu menutup aurat dengan sempurna.
Allah s.w.t TIDAK menyuruh kaum Hawa untuk mengenakan tudung di kepala mereka, akan tetapi menutup kain kerudung sehingga ke dada. Kain kerudung yang dimaksudkan adalah apa-apa sahaja yang boleh menghalang pandangan yang bukan mahram daripada melihat aurat. Jadi, gunalah apa-apa sahaja sama ada selimut, cadar mahupun langsir untuk menutup aurat anda.
Sebenarnya, Islam bukan menyuruh untuk bertudung. Tetapi Islam menyuruh kaum Hawa untuk menutup aurat mereka. Terdapat perbezaan yang besar antara bertudung dan menutup aurat. Bertudung hanya bertudung tetapi aspek pemakaian lain diabaikan, ataupun bertudung tidak memenuhi syarat. Tetapi menutup aurat ini merangkumi segala aspek yang berkaitan dengan diri dan pemakaian kaum Hawa bukan sekadar tudung, malah baju, seluar, perhiasan dan solekan turut diambil kira.
Mungkin ada yang terasa hati apabila membaca ayat-ayat seperti di atas, tetapi ianya untuk tujuan kebaikan bersama. Mengapa perlu marah, geram dan benci akan ayat di atas sekiranya ianya disusuli dengan firman Allah yang Maha Esa. Sekiranya di hati kita terselit satu perasaan tidak selesa dengan kenyataan di atas, maka kita secara tidak langsungnya tidak selesa dengan syariatNya. Jangan kerana kepentingan kita, syariat Islam diketepikan, nauzubillah.
Mengapa perlu menutup aurat? Cubalah anda (kaum Hawa) menutup aurat dengan sempurna selama beberapa hari, anda akan merasa satu perasaan yang berbeza dengan sebelumnya, insya Allah.
Sekadar renungan dan peringatan bersama, insya Allah. Renung-renungkan dan sampaikan.
Lajnah Sukan dan Kebudayaan Islam,
Kelab Iqra' UTHM.