Friday, October 7, 2011

Internetism


Tidak dinafikan bahawa internet amat bermanfaat pada zaman yang serba moden ini. Segala aktiviti bermula dari aktiviti santai sehinggalah ke urusan pejabat boleh dilakukan dengan mudah dan senang dengan adanya internet. Malah, sesi perbincangan juga boleh dilakukan tanpa sebarang masalah dengan menggunakan Skype, Yahoo Messenger, Facebook, dan berbagai-bagai lagi medium yang lain.

Walaupun diakui bahawa internet ini memudahkan kehidupan kepada manusia pada zaman sekarang, namun ianya tetap mempunyai banyak keburukan. Antara keburukan yang jelas kita boleh lihat adalah tersebarnya media-media lucah atau pornografi di merata-rata tempat. Selain itu, kita pernah diberitakan bahawa ada pasangan yang bercerai hanya dengan menggunakan laman sosial di internet. Fitnah juga sangat senang berleluasa dalam medium yang serba senang ini.

Di dalam banyak-banyak keburukan rentetan daripada internet ini, masih ada lagi kebaikan yang sangat berguna kepada manusia, khususnya dalam bab menyebarkan ajaran Islam yang mulia ini. Kita boleh lihat dengan jelas pada ketika ini, banyak blog ustaz-ustaz yang terkenal boleh kita baca bila-bila masa sahaja. Malah, ada yang memuatnaik koleksi kuliah seperti Ustaz Azhar Idrus.

Medium yang paling baik bagi menyebarkan dakwah Islamiyah seperti ini ada blogger. Malah, pendekatan dakwah melalui Facebook juga tidak dinafikan keberkesanannya. Hal ini kerana, ramai manusia pada masa kini mempunyai akaun Facebook sendiri. Justeru, sesiapa sahaja akan melihat ayat-ayat dakwah di dalam Facebook tanpa apa-apa halangan dan bila-bila masa, di mana-mana sahaja.

Namun, tetap juga diperingatkan semula kepada aktivis dakwah maya agar berhati-hati dalam menggunakan medium maya untuk berdakwah supaya tidak lalai dan leka sehingga mengabaikan tanggungjawab kita terhadap hal-hal agama lain. Kita hanya sekadar membawa masyarakat ke arah kebaikan, tetapi hidayah itu tetap milik Allah. Jangan kerana ingin berdakwah, kita leka sehingga melewatkan waktu solat, nauzubillah.

Wallahualam.

Disediakan oleh
Lajnah Penerbitan, Informasi dan Multimedia
Kelab Iqra' UTHM