Thursday, June 28, 2012

Masa

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurniaNya, nikmat Iman dan IslamNya, serta hidayah dan inayahNya kita masih lagi diberikan peluang untuk menghirup udara segar serta berada dalam kalangan orang-orang yang beriman denganNya.

Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w sebagai rasulNya serta utusanNya, juga sebagai kekasihNya. Juga kepada ahli keluarga baginda, para sahabat baginda, para tabi’ tabi’in dan pengikut tabi’ tabi’in serta mujahid mujahidah, mukminin mukminat, dan muslimin serta muslimat yang masih lagi berada di dalam nikmat Iman dan Islam.

Alhamdulillah, bagi kebanyakan pelajar yang sedang mengambil jurusan Sarjana Muda tentunya sudah pun merasa sedikit kepuasan kerana telah tamat menghadapi peperiksaan akhir semester pada kali ini. Tentunya terlihat kepuasan di wajah masing-masing kerana telah berjaya menghadapi tempoh peperiksaan dengan selamat tanpa sebarang masalah.

Terbitan kali ini, Lajnah Penyelidikan, Pembangunan dan Perpaduan Kelab Iqra’ UTHM ingin berkongsi berkenaan aktiviti kita selepas berhempas pulas menghadapi tempoh peperiksaan, atau dalam bahasa lainnya, semasa sedang bercuti.

Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah sekalian,

Dalam satu hadis Nabi Muhammad s.a.w yang kira-kira bermaksud: “Ada dua jenis nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang”. Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan at-Tarmizi. Hadis ini mengingatkan kita tentang nikmat yang sering kita lupakan iaitulah nikmat kesihatan dan masa lapang.

Mengapa Rasulullah s.a.w mengatakan sedemikian? Dan ternyata hadis ini benar, lebih-lebih lagi di akhir zaman ini. Kita sering leka dan alpa sekiranya kita mengecapi nikmat ini. Cuba bayangkan, seorang pesakit yang menghadapi koma hanya mampu terbaring di atas katil di hospital. Pesakit tersebut tidak mampu untuk membuka mata sekalipun. Tetapi dengan izin Allah, pesakit itu diberi nikmat kesihatan dan telah pulih dari komanya. Namun, adakah pesakit tersebut sentiasa ingat bahawa dia pernah koma suatu masa dahulu? Jika si pesakit tersebut tergolong dalam golongan yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman, insya Allah dia akan sentiasa ingat. Akan tetapi, kebanyakkan manusia zaman sekarang sering kali melupakan kesakitan yang pernah dialaminya suatu masa dahulu, termasuklah si penulis ini.

Nikmat yang kedua iaitu masa lapang. Nikmat ini merupakan nikmat terbesar dan juga ujian terbesar kepada seluruh umat manusia sehingga diturunkan satu surah di dalam kitab suci al-Quran yang berkaitan dengan masa iaitulah Surah al-Asr yang bermaksud ‘Masa’.

Di dalam surah ini, Allah s.w.t telah bersumpah dengan masa. Allah juga telah menyatakan bahawa setiap manusia daripada setiap golongan kehidupan akan rugi. Tiada sesiapa yang beruntung dalam urusan masanya melainkan hanya empat golongan yang terlepas dari kerugian tersebut iaitu; golongan yang beriman, golongan yang beramal soleh, golongan yang sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan juga golongan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.

Golongan-golongan ini akan terus mendapat rahmat daripada Allah serta merupakan orang yang berjaya di dunia dan juga di akhirat, insya Allah. Hal ini kerana, sekiranya seseorang individu itu beriman dan beramal soleh, maka amatlah sukar bagi dirinya untuk melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan rahmat Allah, dan akan terhindarlah dirinya daripada segala difat mazmumah. Dan sekiranya seseorang individu tersebut sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, maka individu tersebut akan sentiasa memperbaiki dirinya dan juga orang lain dalam mencari keredhaan Allah.

Dalam konteks mahasiswa di akhir zaman, banyak perkara yang perlu dan boleh kita laksanakan sepanjang musim cuti akhir semester ini. Antaranya contoh yang selalu kita praktikkan adalah:


  • Menolong ibu dan ayah di rumah.
  • Mengeratkan kembali silaturrahim sesama ahli keluarga sama ada yang jauh atau yang dekat.
  • Menziarahi sekolah kita terdahulu dan bertanya khabar dengan guru-guru yang pernah mendidik kita.
  • Mengadakan program yang berbentuk ilmiah dan juga mendatangkan faedah kepada diri dan juga ahli keluarga.
  • Mempertingkatkan amalan seharian yang berbentuk rohani dalam diri kita kerana hanya pada masa cuti ini sahajalah kita mempunyai masa dan waktu yang sangat panjang seperti membaca al-Quran dan berzikir.
  • Berniaga dan membantu keluarga dalam konteks ekonomi.

Sesungguhnya masih banyak lagi yang boleh kita lakukan dalam erti kata mengisi masa lapang yang dianugerahkan daripada Allah s.w.t kepada kita. Alangkah bagusnya sekiranya kita ini  tergolong dalam golongan yang berjaya dan tidak rugi seperti yang digambarkan oleh Allah dalam Surah al-Asr.

Wallahu’alam.

~Perbaiki Diri & Perbaiki Orang Lain~
As-Syahid Imam Hassan Al-Bannaa