“ Jika kita sayang pada sesuatu, pasti kita berusaha untuk mendapatkannya…”
Perasaan sayang merupakan naluri yang wujud dalam setiap insan. Persoalan yang timbul ialah bagaimana dan kemana perasaan sayang yang dianugerahkan kepada kita itu disalurkan? Adakah kearah kebaikkan ataupun kearah keburukkan?
Perasaan sayang yang kita miliki itu, yang paling utamanya perlu disalurkan terlebih dahulu kepada Sang Pencipta iaitu Allah S.W.T. Kerana Dia, kita bernafas dan meneruskan hidup. Kerana dia juga kita mampu untuk menggerakkan bebola mata dan membaca artikel ini. Selepas itu barulah perasaan itu dikongsi bersama makhluk ciptaanNya. Ini yang sepatutnya berlaku.
Jadi, jika perasaan itu belum hadir, bagaimana caranya? Baiklah, seorang tokoh ilmuan islam yang terkenal iaitu Ibnu Qayyim al-Jauziyah telah menggariskan beberapa tips untuk kita menyuburkan rasa cinta kita pada Allah S.W.T:
1. Membaca al-Quran dengan tertib dan memahami maksudnya.
2. Melazimkan amalan-amalan sunat.
“ Dan sentiasalah hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya” HR Bukhari
3. Sentiasa mengingati dan menyebut namaNya pada semua keadaan.
4. Utamakan perkara yang disukai oleh Allah daripada perkara yang disukai oleh diri kita.
5. Terapkan dalam hati kita nama-namaNya, sifat-sifatNya dan sentiasa perhatikan bukti kebesaranNya.
6. Renungkanlah pemberianNya.
7. Leburkanlah hati di hadapanNya dengan rasa hina, rendah diri, dan menginsafi diri.
8. Bermunajatlah di waktu akhir malam.
9. Mendampingi orang-orang yang mencintaiNya.Kutiplah kata-kata hikmah dari mereka yang soleh.
Jika ini merupakan permulaan kita, tidak mengapa. Buatlah sedikit demi sedikit tetapi istiqamah kerana itulah yang terbaik.