Ada yang kate ppsmi tu tak bagus utk orng melayu ada yang kate ppsmi tu satu lonjakan kepada sistem pembelajaran di Malaysia tetapi sejauh mana anjakan itu dapat diselarikan dengan kualiti pembelajaran di negara kita?????
sama-sama kita fikirkan bersama-sama beberapa pandangan dari mereka yang terbabit.....
1)PIBG turut membantah ppsmi
Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.
Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara, Isnin lalu.
Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac.
"Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram.
"Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia).
"Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.
GMP menganjurkan perhimpunan besar minggu depan bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar itu.
Mohamad Ali turut mengkritik persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bagi membincangkan pelaksanaan PPSMI yang didakwanya “tidak begitu bebas”.
"Kita perlukan kajian yang benar-benar bebas. Mungkin sudah tiba masanya kita menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji pelaksanaan PPSMI.
"(Sidang) meja bulat ini kita lihat tidak begitu bebas. Tidak ada laluan yang luas," kata Mohd Ali.
Katanya, PIBGN hadir kesemua lima kali persidangan meja bulat kementerian dan membantah PPSMI dalam pertemuan itu tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan apabila dasar itu terus diamalkan sejak enam tahun lalu.
Mengulas pelaksanaan dasar kontroversi itu, beliau menyifatkan PPSMI gagal kerana dikendalikan oleh guru yang kebanyakannya "tidak berdaya" dan "tidak cukup latihan".
"Insentif 10 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam PPSMI tidak nampak setimpal dengan kenaikan tersebut. Prestasi mereka sepatutnya lebih daripada 10 peratus," katanya.
Selain itu, Mohd Ali menambah, PPSMI mengakibatkan banyak pembaziran apabila guru-guru terlibat yang dibekalkan komputer riba bagi membantu pengajaran tetapi gagal memanfaatkan sepenuhnya.
"Begitu juga dengan perisian-perisian yang tidak dimanfaatkan. Hanya 1/3 perisian pengajaran (daripada kira-kira 25 jenis) yang dicadangkan oleh kementerian digunakan," katanya.
2) pengertian bahasa melayu sbg bahasa kebangsaan dalam perlembagaan
Prof. Dr. Abdul Aziz Bari
Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dengan jelas diperuntukkan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai undang-undang utama negara Perlembagaan menjadi tonggak dan kayu ukur bagi semua undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, Dewan-Dewan Undangan Negeri dan segala dasar kerajaan.
Peruntukan di bawah Perkara 152 itu tidak boleh dipinda oleh Parlimen kerana kata putus terletak di tangan Majlis Raja-Raja. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan di bawah Perkara 159(5).
Kedudukan yang sedemikian memang wajar kerana bahasa Melayu telah meresap ke dalam batang tubuh Perlembagaan; contohnya definisi orang Melayu juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 160(2). Keakraban ini juga kelihatan dalam peruntukan di bawah Perkara 10(4) yang turut meletakkan Bahasa Melayu sebagai antara perkara-perkara yang kedudukannya tidak boleh dipersoalkan atas nama kebebasan bersuara.
Ia malah boleh dikatakan sebagai sudah mencapai tahap sakral.
Meskipun begitu Perlembagaan menyedari bahawa kedudukan sedemikan tidak harus digunakan secara zalim dan menyekat atau digunakan secara membuta tuli. Inilah yang dapat dikatakan apabila kita meneliti fasal-fasal tertentu di bawah Perkara 152. Fasal (1)(a) dan (b) umpamanya membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain asalkan ia tidak dalam konteks kegunaan rasmi.
Ini semua sebenarnya telah diamalkan sebelum dan selepas merdeka. Hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini sahaja beberapa undang-undang dan dasar tertentu yang berlawanan dengan peruntukan dan amalan Perlembagaan dimulakan. Ini menimbulkan persoalan yang sangat serius tentang kesahihan mereka. Dan kelihatannya tindakan tersebut juga menimbulkan banyak kesulitan dan kekeliruan. Selain itu kelemahan dan kealpaan pelaksanaan Perkara 152 tidak harus dibenarkan untuk mencairkan peruntukan dan kehendak Perkara 152 yang sebenarnya turut didokong oleh Suruhanjaya Reid sendiri.
Kita percaya mahkamah akan menghukumkan isu ini dengan betul kerana para hakim telah diwajibkan oleh mahkamah untuk memelihara, melindungi dan mempertahan Perlembagaan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan melalui seksyen 1 Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan.
3)pandangan dari blog institut peradaban melayu UPSI
Kini sudah tiba masanya kita (pejuang dan pencinta bahasa Melayu) bersatu bagi menunjukkan sokongan terhadap usaha mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama semua bidang ilmu dalam sistem pendidikan (dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti).
Inilah masanya perjuangan Gapena dan badan-badan bukan kerajaan lain yang membantah dasar PPSMI disokong seluruhnya.
Di samping semua usaha digerakkan untuk menentang penerusan dasar PPSMI, iaitu melalui luahan perasaan, bantahan, saluran perundangan serta penggunaan kuasa undi dalam pilihan raya, saya mencadangkan setiap insan Melayu yang prihatin dengan bangsa dan bahasanya; yang bimbang dengan bencana keruntuhan jati diri yang bakal ditimpakan ekoran dasar PPSMI; dan yang mengharapkan kehidupan sejahtera sebagai satu bangsa bermaruah, untuk bersolat hajat bersama-sama di seluruh negara pada satu waktu yang sama (misalnya pada setiap malam Jumaat awal bulan Hijrah) bagi memohon pertolongan Allah Subhanahu Wataala.
Setelah kita telah berusaha sekuat tenaga berjuang menolak dasar PPSMI tetapi pihak yang memegang kuasa masih berdegil dengan pendirian mereka atas alasan tertentu, solat hajat merupakan cara memohon bantuan Yang Esa.
Kepada yang belum terbayangkan bencana yang bakal menimpa bangsa Melayu akibat dasar PPSMI yang bakal mencacamerbakan bangsa dan generasi akan datang, hayatilah lagu “Ayam Den Lopeh”, sebuah lagu klasik masyarakat Minang yang terkenal sejak 1960-an di tanah asalnya di Sumatera dan di Malaysia.
Mesej dari lagu tersebut membawa maksud tiada guna menyesali apa yang telah berlaku apabila semuanya sudah terlewat! Menjelang tahun 2020, pastikah kita mencapai status negara maju melalui penguasaan bidang sains dan teknologi?
4) menteri pelajaran tanya kenapa baru sekarang baru buat laporan polis tentang isu ppsmi.
Kemerosotan pencapaian murid negara ini dalam Matematik dan Sains, kata Hishammuddin tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Peperiksaan kini masih dalam dwibahasa. Jadi tak ada sebabnya mereka boleh menyatakan dasar ini merupakan punca penurunan TIMSS yang sebelum ini naik dan membanggakan.”
Komen saya: Jika pembelajaran dalam kelas sudah tidak difahami murid, bagaimana mereka hendak menjawab soalan peperiksaan walaupun ia diberikan dalam dwibahasa. Ini kerana mereka tak faham konsep asas, maka mereka tidak mampu untuk mengaplikasikan ilmu pada situasi yang berbeza. Pembelajaran sains dan matematik bukan berasakan “hafalan” atau “rote learning” semata-mata tetapi memerlukan kesemua sintesis, aplikasi, ramalan dan lain-lain.