Wednesday, March 17, 2010

Explorace IPTA & Perasmian KP2I

ALHAMDULILLAH... Program yang julung kali dianjurkan oleh Kelab Iqra' UTHM iaitu Explorace IPTA bersempena pembukaan rasmi Kelas Pembangunan Integriti Islam, KP2I telah selamat dijalankan dengan sempurna pada 13hb Mac 2010 iaitu pada hari Sabtu yang lalu.

Sambutan yang amat menggalakkan dapat dirasakan malah peserta menunjukkan komitmen dan semangat mereka dengan hadir ke tempat berkumpul iaitu di Dataran Anggerik seawal 7.30pagi lagi untuk menyertai Explorace IPTA yang dianjurkan Kelab Iqra'.

Program dimulakan dengan sesi pendaftaran kepada para peserta dan pembukaan majlis dengan bacaan doa oleh saudara Mohd Firdaus. Beberapa sesi taklimat ringkas disampaikan kepada para peserta demi menjamin kelancaran program pada hari berkenaan. Saudara sahrul Khair Osman, iaitu Pengerusi Lajnah Tarbiyah & Kepimpinan Kelab Iqra' telah menyampaikan taklimat berkaitan perjalanan Explorace kali ini. Seterusnya, diikuti dengan sesi pembahagian kumpulan serta peserta beramai-ramai memanaskan badan dengan berteladankan saudara Mustaqim Yahya selaku Pengerusi Lajnah Sukan, Kebudayaan Islam, LSKI Kelab Iqra'.

Peserta-peserta telah disediakan dengan satu keping sampul surat bagi setiap kumpulan yang berisi soalan dan pembayang untuk memandu mereka menuju ke 'Check point' seterusnya. Pelbagai arahan telah dikeluarkan oleh fasilitator di setiap 'check point' yang didatangi peserta dan dapat dilihat pelbagai telatah telah ditunjukkan oleh para peserta untuk menyelesaikan permasalahan dan tugasan yang timbul di setiap 'check point'.

Kemuncaknya sehinggalah kesemua peserta telah berjaya sampai dan melalui kesemua 'check point' dan menyelesaikan persoalan-persoalan yang diberikan. Peserta seterusnya berkumpul untuk pertandingan membaling belon berisi air manakala bagi muslimah pula, mereka beramai-ramai berkayak di tasik UTHM. Antara 'checkpoint' yang sangat mencabar adalah ketika peserta dikehendaki memanjat dinding di kawasan 'wall climbing' bagi menyelesaikan tugasan yang dikenakan. Keletihan di wajah para peserta amat jelas kelihatan sepanjang tempoh Explorace dijalankan, namun semangat waja yang ditunjukkan sangat mengkagumkan para AJK pelaksana. Inilah golongan mahasiswa dan anak muda yang dicita-citakan Islam. Insya-Allah.

Pada penghujungnya, ke semua peserta berkumpul di bangunan JKR berhampiran tasik UTHM bagi mendengar ucapan dan perasmian Kelas Pembangunan Integriti Islam, KP2I yang dilakukan oleh Ustaz Mohd Shahrir Bin Abd Muatllib selaku Penasihat Kelab Iqra' UTHM. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan ringkas Presiden Kelab Iqra' UTHM, saudara Mohd Faridz Ismail dan seterusnya pengumuman pemenang Explorace. Seterusnya, penyampaian cenderahati turut disampaikan kepada para peserta dan wakil dari Kelab Kayak serta Kelab Kembara yang turut bersusah payah bersama membantu kelancaran program. Majlis berakhir dengan para peserta dan AJK pelaksana bersama-sama menikmati juadah yang dihidangkan di dalam talam dan sesi bergambar. Semoga ikatan ukhuwah berjaya dijalin di dalam program kali ini dan kekal sehingga ke masa akan datang.
 
Pihak Kelab Iqra' sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh AJK pelaksana program serta kepada seluruh para peserta yang sanggup meluangkan masa bersama dalam menjayakan program yang julung-julung kali diadakan tersebut. Terima kasih yang tak terhingga juga diucapkan kepada Kelab Kayak dan Kelab Kembara UTHM atas bantuan, kerjasama serta sikap toleransi tinggi yang ditonjolkan sepanjang menjayakan program. Semoga program kali ini bukanlah yang pertama dan terakhir bagi menjalinkan kerjasama demi mengeratkan lagi tali ikatan persaudaraan dan silaturrahim sesama kita.

Selain itu, Kelab Iqra' juga memohon kemaafan atas kekurangan sepanjang pengendalian program tersebut, mudah-mudahan ia menjadi pengajaran berguna buat kami khususnya serta kepada kita semua agar memiliki kesedaran untuk meningkatkan lagi kualiti dalam pelaksanaan gerakerja program di universiti pada masa-masa akan datang.


Peserta dan seluruh AJK pelaksana bergambar bersama...

Mustaqim mengendalikan sesi 'warming up" dengan penuh semangat...

Tawadhu' dan Khusyuk mengaminkan doa yang dibacakan...
Ambil jarak...nak berlepas ni...

Arghhh...lega sakit-sakit belakang...