Pada Tanggal 12 Mac 2010 iaitu pada hari Jumaat yang lalu, Kelab Iqra' dengan diketuai Presidennya, saudara Mohd Faridz Ismail serta anggota Majlis Tertinggi & beberapa orang ahli sahabat Iqra' telah menyertai ratusan mahasiswa-mahasiswi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UTHM dalam satu majlis perarakan Maulidurrasul peringkat universiti.
Program perarakan tersebut yang dianjurkan pihak Pusat Islam dengan kerjasama pihak UTHM sendiri itu telah bermula seawal jam 8.00pagi. Sebelum itu, pada jam 7.30pagi lagi, peserta-peserta perarakan yang terdiri dari beberapa buah Pusat Tanggungjawab Universiti, kelab-kelab dan kolej kediaman telah berkumpul berdekatan padang golf berhampiran Stor Pusat UTHM sebelum memulakan perarakan.
Perarakan yang penuh dengan warna-warni tersebut diiringi dengan laungan selawat ke atas Rasul s.a.w sebagai tanda memperingati kelahiran baginda di atas muka bumi ini. Pelbagai kain rentang serta beraneka warna pakaian seragam diserlahkan oleh peserta-perserta dari pelbagai kontinjen PTJ, Kelab-kelab serta Kolej Kediaman.
Kontinjen Kelab Iqra' tampil dengan pakaian baju melayu serba ungu berseluar hitam serta berkopiah putih bagi peserta musliminnya manakala, bagi peserta muslimah, mereka juga turut hadir dengan berpakaian berwarna serba ungu muda dengan bertudung labuh putih. Turut mengiringi kontinjen Kelab Iqra' adalah dari kalangan anggota Sahabat Iqra' yang turut hadir memberikan komitmen kepada Kelab Iqra' sekaligus menyemarakkan lagi suasana penuh ceria dalam memperingati maulidurrasul s.a.w.
Lebih manis lagi, pada majlis penyampaian hadiah selepas sesi ceramah yang disampaikan oleh wakil Majlis Agama Islam Johor di dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kelab Iqra' telah dinobatkan sebagai
kontinjen terbaik dalam kategori Kaligrafi Kain Rentang Terbaik.
Harapan seluruh kepimpinan Kelab Iqra', mudah-mudahan perarakan pada hari tersebut bukanlah sesuatu yang bersifat ritual dan sekadar meraikannya pada hari-hari tertentu sahaja. Juga bukan semata-mata demi mengeratkan ukhuwah sesama ummat Islam dan menjalinkan silaturrahim sesama warga UTHM, namun apa yang lebih penting adalah semangat dan ruh perjuangan baginda s.a.w dihayati dan terus mekar subur dibajai di dalam diri kita semua ummat Islam terutamanya ummat Islam di bumi UTHM.
[gambar akan dimasukkan kemudian]
Saturday, March 13, 2010
Kelab Iqra' Sertai Perarakan Maulidurrasul UTHM
10:43 AM