Monday, August 29, 2011

Perutusan Pengerusi Kelab Sempena Aidilfitri



Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
    Marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberikan kita peluang untuk bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan datang nanti dengan penuh bermakna. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi SAW yang tercinta, para keluarga dan sahabat yang telah sama-sama berjuang untuk menegakkan Islam nan suci ini.

Muslimin muslimat yang dikasihi sekalian,
  Di saat kegembiraan dan keriangan berhari raya janganlah pula kita terlupa tentang nasib mereka yang kurang berkemampuan. Anak-anak dan isteri yang telah kehilangan bapa dan suami tempat bergantung harapan, orang-orang tua di sekeliling kita yang tidak mempunyai sesiapa dalam hidup mereka. Bahkan hanya menagih simpati masyarakat dan jiran. Hulurkan bantuan seadanya kepada mereka sebagai tanda bahawa mereka tidak pernah dipinggirkan dalam suasana ceria ini.
Buat perantau yang dirindui,
  Selamat kembali ke Tanah air masing-masing, tanah serendah sekebun bunga bagi menyambut hari lebaran yang mulia. Doa saya semoga anda semua selamat tiba ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat sejahtera. Dalam keseronokan menyambut hari raya pada kali ini, adalah diharapkan semoga anda semua tidak melupakan sama sekali tanggungjawab yang lebih besar iaitu menegakkan syiar ISLAM di muka bumi Allah SWT ini.

Kepada sahabat sahabiah pimpinan Kelab Iqra’ serta sahabat Iqra’
  Selamat menyambut Aidilfitri dengan penuh meriah dan sederhana. Pengorbanan kalian dalam menyokong dan mendokong segala gerak kerja ini amat dihargai. Semoga ikatan kasih sayang kita semua akan bertambah erat dan berkekalan sehingga ke akhirat.

Akhir kalam,
Buat sahabat-sahabat yang sentiasa istiqamah dalam membantu Kelab Iqra’ sepanjang musim ini,teruskanlah usaha dalam menegakkan Islam di muka bumi UTHM ini,gunakanlah Kelab ini sebagai wahdah mendekatkan diri dan orang lain ke arah mengamalkan Islam sepenuhnya. Doakan semoga Allah terus memberikan kekuatan kepada saya untuk meneruskan perjuangan menegakkan Kalimah Allah ini sehingga ke hari kiamat. Amin.

Sekian, wassalam
 
Dari Al-Faqir Ilallah MUHAMMAD ZULKIFLI BIN CHE LAH
Presiden Kelab Iqra’ Sesi 2011