Tuesday, November 6, 2012

Selalu Dilupakan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan yang Maha Mencipta sekalian alam semesta serta diri-diri kita yang kerdil ini. Syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana hari ini dan saat ini kita masih lagi mampu bernafas seperti hari-hari sebelumnya, mampu lagi menatap keindahan penciptaanNya yang ada pada diri kita, alhamdulillah. 

Tidak lupa juga, selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, insan mulia di akhir zaman ini yang juga penghulu para Nabi dan Rasul. Juga ke atas para ahli keluarga baginda s.a.w, para sahabat-sahabat baginda s.a.w, serta muslimin dan muslimat yang masih berada di muka bumi Allah ini dengan cita-cita mengembalikan kegemilangan Islam sepertimana yang pernah dikecapi suatu masa dahulu.

Insya Allah pada keluaran kali ini, Kelab Iqra' UTHM akan berkongsi satu ayat yang pendek, yang selalu meninti di bibir-bibir kita setiap kali solat (kerana kependekkannya) mahupun di luar solat. Malah, surah ini juga sering digunakan di dalam ceramah-ceramah agama walau di mana kita berada. Surah yang dimaksudkan adalah Surah al-Asr, ayat 1-3.


Surah ini merupakan surah yang ke-103 dari al-Quran al-Karim yang mengandungi 3 ayat. Surah ini tergolong dalam surah makiyyah yang mana diturunkan ketika Nabi Muhammad s.a.w berada di Mekah.

Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah sekalian,

Dalam surah yang kecil, yang mengandungi tiga ayat ini tergambar satu peraturan hidup yang sempurna bagi manusia sebagaimana yang dikehendaki Islam. Sifat-sifat pokok kefahaman keimanan serta hakikatnya yang agung dan syumul adalah tergambar begitu jelas dalam surah ini. Ia meletakkan seluruh perlembagaan Islam dalam beberapa ungkapan yang pendek dan mensifatkan hakikat dan fungsi umat Islam hanya dalam satu ayat sahaja iaitu ayat yang ketiga dari surah ini. Inilah pengungkapan yang mengkagumkan yang hanya dapat dilakukan oleh Allah 'Azzawajalla sahaja.**

Seperti yang kita sedia maklum mengenai tafsiran ayat ketiga surah ini mengajar kita akan panduan dan batas-batas dalam kehidupan sekiranya kita tidak ingin menjadi seorang yang rugi. Kerugian yang dinyatakan di sini bukan sahaja dalam ruang lingkup duniawi malah, ianya lebih merujuk kepada ukhrawi ataupun dalam bahasa yang mudah, akhirat.

Cuba kita bayangkan sama-sama. Bagaimana mungkin Allah s.w.t menyatakan bahawa kita semua ini berada di dalam kerugian. Bukankah itu satu perkara yang pelik dan tidak dapat diterima akal fikiran kita? Iya, memang ianya satu perkara yang tidak logik. Mengapa? Kita telah pun berusaha sedaya upaya dan mendapat balasan yang setimpal dengan usaha kita dan kemudian, kita mendapat pekerjaan. Maka setiap hari kita bekerja dengan sumber yang halal serta cara yang halal. Tidak pernah sekalipun kita mengatasi syariat dalam kehidupan kita.

Dalam konteks sebagai seorang pelajar atau mahasiswa pula, kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan sehingga di akhir pengajian kita, kita mampu memegang segulung ijazah atau sijil yang mengatakan bahawa kita telah tamat pengajian dengan jayanya serta dengan keputusan yang membanggakan diri masing-masing serta seluruh ahli keluarga kita.

Lalu, di mana kerugian yang kita alami sedangkan Allah s.w.t sentiasa memberi nikmat dan balasan yang setimpal dengan usaha kita, meskipun kita Muslim atau bukan, ianya sama sahaja. Lalu, di mana kerugiannya?

Kerugiannya adalah seperti yang diterangkan di dalam ayat ketiga surah ini. Ramai umat manusia yang leka dan alpa sehingga mereka hanya mengejar dunia tanpa menghiraukan akhirat, nauzubillah, semoga kita terhindar dari menjadi golongan seperti ini.

Terdapat 4 golongan yang Allah s.w.t nyatakan di dalam surah ini yang mana golongan ini tidak akan merasai kerugian duniawi iaitulah:
  1. Golongan yang beriman
  2. Golongan yang beramal soleh
  3. Golongan yang berpesan dengan kebenaran
  4. Golongan yang berpesan dengan kesabaran
4 golongan ini merupakan mereka yang sentiasa berada di dalam keuntungan meskipun mereka tidak berkesempatan untuk merasai nikmat seperti mana yang mampu kita kecapi. Mengapa mereka ini dikatakan sedemikian?

Golongan yang beriman.

Iman merupakan hubungan kita sebagai seorang hamba yang kerdil, hina, lemah dan sebagainya dengan pencipta kita Allah 'azza wa jalla yang Maha Kuat, Gagah, dan semua kekuatan serta kesempurnaan disandarkan kepadaNya. Dengan keimanan ini, seorang manusia akan dapat mengecapi tingkatan taqwa, iaitulah takut kepadaNya semata-mata.

Hubungan iman yang kuat antara makhluk dan penciptanya akan melahirkan satu kekuatan yang akan memberi kenikmatan kepada makhluk tersebut. Analoginya, seekor lembu yang sedang meragut rumput yang segar di padang yang besar. Lembu tersebut tidak perlu untuk memikirkan apa-apa kerana dia tahu bahawa dirinya adalah lembu yang diciptakan oleh penciptanya hanya untuk berada di padang, meragut rumput dan mungkin akan disembelih suatu hari nanti. Maka lembu tersebut menerima hidupnya dengan tenang tanpa perlu banyak ragam.

Daripada analogi yang dinyatakan di atas, bukanlah niat untuk mengatakan bahawa iman itu boleh digambarkan seperti lembu, tidak. Akan tetapi, tamsilan dari analogi tersebut adalah, seorang hamba yang beriman akan mengetahui bahawa setiap tindak-tanduk malah ketentuan dirinya telah pun tercatat dalam Luh Mahfuz masing-masing, diiringi dengan qada' dan qadar Allah. Namun, seorang hamba yang kurang atau tidak beriman akan mudah menyalahkan nasib dan juga takdirnya sekiranya dia mendapat kesusahan dan sekiranya mendapat kesenangan, maka dia akan tersenyum gembira tanpa mensyukuri nikmat kurniaanNya.

Maka golongan yang beriman kepadaNya merupakan golongan yang sentiasa berada di dalam keuntungan.

Golongan yang beramal soleh.

Setelah mengecapi nikmat dan kemanisan iman, maka sudah pastilah seorang hamba itu akan merasai ketenangan yang hadirnya daripada pencipta ketenangan. Maka, dengan mudah dia akan tersenyum seperti mana Rasulullah s.a.w senyum walau dihina oleh umatnya sendiri. Maka dengan mudah juga, hamba tersebut akan sabar menghadapi musibah dan dugaan yang didatangkan kepadanya.

Hati hamba yang beriman akan sentiasa basah mengingati Allah. Mereka akan merasakan bahawa Allah-lah yang menciptakan mereka dan Dialah yang sedang melihat pada detik mereka berada di sesuatu tempat mahupun tempat itu gelap, jauh dari pandangan manusia. Maka, dengan itu mereka akan sentiasa beramal dengan amalan yang soleh.

Dengan amalan inilah mereka tidak akan merasai kerugian kerana mereka tahu niat mereka setakat mana dengan ganjaran yang bakal mereka perolehi. Mereka hanya mengharapkan redha dan kasih sayang Allah dalam setiap amalan yang mereka kerjakan.

Amalan soleh bukanlah semata-mata bersolat, berzikir, membaca al-Quran, malah ia lebih besar daripada itu, sama seperti konsep ibadah. Jika segala pekerjaan yang kita lakukan semata-mata kerana Allah, hatta membasuh pinggan mangkuk atau menyapu, maka itu sudah dikira ibadah dan juga tergolong dalam amalan soleh. Dan perlu kita insafi bahawa segala amalan kita hanya diniatkan untuk mendapat keredhaan Allah.

Bayangkan, seorang pekerja yang mendapat pendapatan bulanan sebanyak RM4K dengan hanya duduk di kerusi akan menganggap pekerjaannya mudah. Maka kemungkinan besar dia akan memandang remeh akan pekerjaannya itu. Suatu hari, dia terasa ketuannya sentiasa memerhatikannya. Tidak lama kemudian, dia terasa dirinya diperhatikan. Apabila disedari, memang dia telah diperhatikan oleh ketuanya sepanjang dia berada di pejabatnya. Lalu, barulah dia insaf bahawa dia mesti bekerja tidak kisah seremeh mana pekerjaan yang dilakukannya.

Maka, bagaimana dengan kita yang mana Allah s.w.t sentiasa memerhati 24 jam tanpa henti? Seharusnya amalan kita lebih baik dari pekerja tadi.

Golongan yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Dua golongan ini tidak mungkin akan terpisah. Mereka yang sentiasa menasihati akan perkara yang benar akan sentiasa diuji oleh Allah, lalu di situ mereka turut berpesan dengan kesabaran.

Golongan ini tergolong dalam golongan yang tidak mendapat kerugian kerana usaha mereka untuk menyatakan yang haq melebihi batil akan memakan masa yang lama. Kesabaran amat diperlukan sepanjang usaha mereka itu dijalankan.

Sepanjang usaha mereka itu dilakukan, mereka sedar bahawa mereka perlu menambah ilmu di samping tidak berhenti untuk menyatakan kebenaran kepada masyarakat. Sekiranya Allah izinkan supaya urusan mereka mudah, maka sudah pasti mereka menjadi asbab (penyebab) untuk seseorang mendapat hidayah daripadaNya lalu mereka pun mendapat ganjaran yang besar yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Sesetengah masyarakat memandang serong akan perkara seperti ini. Sebagai contoh, apabila ibu bapa melihat anaknya lebih cenderung untuk belajar ilmu agama, dengan mudahnya ibu bapa tersebut mengatakan bahawa hanya dengan ilmu agama si anak tidak mampu untuk pergi lebih jauh dalam kehidupan di dunia ini. Nah! Tanggapan ini ternyata salah. Hari ini, kita melihat ustaz-ustaz artis yang dikeluarkan dari rancangan realiti TV iaitu Imam Muda. Mereka ini merupakan contoh terdekat yang belajar ilmu agama dan berjaya dalam kehidupan di dunia, malah mereka mampu untuk menarik lebih ramai lagi anak-anak muda untuk mendekatkan diri kepada Allah dan landasan Islam. Seperti juga dengan fenomena pada zaman sekarang iaitu Ustaz Azhar Idrus yang semakin terkenal mengalahi artis-artis negara.

Lalu, di mana kerugiannya? Hanya hati dan fikiran yang tidak mahu menerima hidayah dan keesaan Allah sahaja tidak mahu mengaku.

Semoga mampu untuk memberi manfaat kepada sahabat-sahabat sekalian.

Wallahualam.
**Rujukan dari Tafsir fi Zilalil Quran karangan as-Syahid Syed Qutb.

Kelab Iqra'
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Membina Generasi Al-Quran