Sunday, November 4, 2012

Pemakan Bangkai

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, diberi lagi kekuatan kepada kita untuk bernafas pada hari ini dan juga merasai kenikmatan yang Allah berikan kepada kita. Apa khabar sahabat-sahabat semua? Kelab Iqra' UTHM mengharapkan anda semua sihat wal'afiat sentiasa. Insya Allah, pada kali ini kami ingin berkongsi salah satu ayat dari salah satu surah yang terdapat di dalam kitab suci kalamullah al-Quran al-Karim.

Ayat dari surah yang kami maksudkan adalah ayat ke 12 dari surah al-Hujurat yang berbunyi seperti di bawah:


"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian darinya (prasangka) itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah janganlah sebahagian dari kamu mengumpat sebahagian yang lain. (adakah) Kesukaan seseorang dari kamu akan memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani"

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Daripada ayat di atas, apa yang ingin disampaikan oleh Allah s.w.t kepada RasulNya melalui perantaraan malaikat Jibrail, adalah sangat jelas mengikut logik akal kita. Iaitulah, larangan Allah terhadap hambaNya yang mengumpat atau suka akan perbuatan mengumpat.

Mengapa Allah s.w.t melarang hamba-hambaNya daripada mengumpat? Sekiranya ibubapa atau seseorang melarang kita daripada melakukan sesuatu perkara, sudah pasti ada keburukan atau kesan daripada perbuatan itu sekiranya kita melakukannya. Maka, sekiranya larangan itu dari Allah s.w.t, sudah pasti ada keburukannya. 

Sekiranya kita melihat secara langsung kesan dari perbuatan mengumpat, kita akan dapati bahawa mengumpat itu akan mendatangkan kesan yang sangat besar kepada masyarakat secara umunya dan juga kepada umat Islam secra khususnya.

Antara kesan yang besar dari mengumpat ini adalah tersebarnya fitnah secara melata sekiranya apa yang disampaikan itu tidak benar. Fitnah ini bukan sahaja akan menyebabkan maruah dan nama baik seseorang itu jatuh, malah ianya boleh menyebabkan suami isteri bergaduh, keluarga pecah belah, malah negara akan huru hara hanya disebabkan oleh fitnah yang datangnya dari seorang sahaja.

Di dalam ayat di atas, Allah menjelaskan secara terus akan akibat atau balasan kepada orang-orang yang suka mengumpat iaitulah golongan yang suka akan perbuatan ini akan memakan daging sesiapa sahaja yang menjadi mangsa umpatannya. Allahu Rabbi, bagaimanakah rasa daging manusia ini sahabat-sahabat sekalian? Menurut kajian, mayat atau bangkai manusia merupakan bangkai yang paling busuk sekali! Lalu, bagaimana mungkin seorang manusia memakan bangkai manusia yang lain yang mana manusia itu adalah mangsa umpatannya?

Daripada potongan ayat yang menjelaskan mengenai balasannya orang yang mengumpat, sebenarnya Allah s.w.t telah merendahkan darjat golongan yang suka mengumpat. Adalah sesuak yang memalukan sekiranya kita mengumpat orang lain lalu kita memakan dagingnya seumpamanya kita meludah, kemudian kita jilat balik ludah kita tersebut. Allahu Rabbi.

Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah sekalian,

Di akhir ayat di atas, Allah s.w.t menyatakan agar kita haruslah bertaqwa kepada Allah dan Dia sendiri mengatakan bahawa Dialah Maha Penerima Taubat dan Maha Mengasihani. Perkataan taqwa selepas larangan mengumpat ada kaitannya iaitu, taqwa itu sendiri membawa maksud, buat apa yang Allah suruh dan jauhi laranganNya. Maka, perlulah kita memegang dan memahami konsep taqwa ini supaya kita tidak melakukan perbuatan mengumpan, apatah lagi menabur fitnah, insya Allah.

Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani. Semoga taubat-taubat kita dari perbuatan yang salah dari diri kita diampuni oleh Allah s.w.t, amin insya Allah.

~Al-Quran panduan hidup manusia~

Kelab Iqra'
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Membina Generasi Al-Quran