Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, pada hari ini kita mampu untuk bernafas sekali lagi dengan udara serta degupan jantung kepunyaan Allah yang dipinjamkan sementara kepada kita sebagai makhluk ciptaanNya. Saban hari kita akan melalui hari baru yang segala-galanya baru. Udara baru, titisan embun yang baru, sinar matahari yang baru, dan juga degupan jantung yang baru. Akan tetapi, kita jarang merasai 'kebaruan' itu dek kerana terlalu biasa dengan hari-hari seperti hari-hari sebelumnya.
Insya Allah, pada keluaran kali ini, Kelab Iqra' UTHM akan berkongsi satu ayat dari surah yang sangat-sangat selalu kita baca dalam solat kita iaitulah surah al-Fatihah. Namun, kali ini Kelab Iqra' UTHM hanya akan berkongsi ayat kelima dari surah tersebut.
Berikut merupakan ayat kelima daripada surah al-Fatihah:
"Hanya padaMu-lah kami menyembah dan kepadaMu-lah kami meminta pertolongan"
Dalam ayat ini, Allah s.w.t mengajar kita bahawa hanya kepadaNya sahajalah tempat kita menyembah dan juga meminta pertolongan. Ayat ini merupakan salah satu ayat yang mentauhidkan keesaan Allah s.w.t.
Jika kita teliti dengan lebih mendalam, dalam konteks hidup di alam moden ini, kita sentiasa mencari-cari tempat untuk mengadu dan meluah masalah. Dan, seringkali itu jugalah laman sosial seperti Facebook, Blogger dan juga Twitter menjadi sasaran kita untuk meluahkan segala permasalahan yang timbul, meskipun kadangkala status atau luahan itu sangat panjang. Namun, kita lupa bahawa Dia telah pun mengajar kita dalam satu surah yang selalu kita baca iaitulah seperti yang tertera di atas.
Allah mengajar kepada kita supaya hanya pada Dia sahaja kita menyembah sebelum Dia mengajar kita supaya hanya kepada Dia sahaja kita meminta pertolongan. Analoginya dapatlah kita samakan seperti kita ingin meminta sedikit duit daripada ibu bapa kita untuk kegunaan seharian. Adakah kita akan meminta secara terus daripada mereka? Atau kita akan mengeluarkan bahasa yang berbunga-bunga terlebih dahulu? Sudah pasti, kita akan memulakan niat kita dengan satu titik mula seperti bertanya khabar terlebih dahulu dan kemudiaannya kita iringi dengan niat kita diawalnya tadi. Makan, ianyanya samalah seperti apa yang Allah ajar di dalam ayatNya di atas.
Dengan penuh ikhlas dan rendah diri, kita perlu, dan sememangya wajib, untuk menyembah Allah azza wa jalla sebagai pencipta alam semesta, lalu kita memohon pertolongan kepadaNya. Dalam salah satu ayat dari surah al-Baqarah yang berbunyi:
"Dan mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya (solat) itu berat melainkan ke atas orang-orang yang khusyu'"
Maka ingatlah sahabat-sahabat sekalian, bahawa penolong kita hanyalah Allah s.w.t. Dia yang menciptakan masalah, maka Dia jualah yang mempunyai penyelesaiannya. Perlu diinsafi bahawa setiapa masalah atau musibah itu merupakan ujian ke atas kita. Ianya juga merupakan nikmat sekiranya kita menghadapi masalah tersebut dengan hati yang sabar dan tenang.
Insya Allah, moga keluaran kali ini bermanfaat kepada kita semua.
Sebarkan, dan amalkan, insya Allah.
Kelab Iqra'
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Membina Generasi Al-Quran