Tuesday, January 11, 2011

Kepimpinan dan Kepemimpinan



Kepimpinan merupakan satu seni yang mendorong kepada suatu proses untuk menggerakkan sekumpulan manusia atau modal insan ke arah satu tujuan dan matlamat yang jelas. Kepimpinan yang baik akan menggerakkan manusa ke arah jangka panjang iaitu, yang betul-betul merupakan kepentingan mereka. Kepimpinan juga merupakan suatu proses mempengaruhi orang lain dengan cara kita yang tersendiri.

Pemimpin merupakan satu entiti yang diberi kedudukan tertentu dan bertindak mengikut posisi dan kedudukannya. Pemimpin yang hebat dan baik serta jujur adalah pemimpin yang tahu serta pandai memimpin golongan yang dipimpinnya ke arah matlamat pimpinannya, iaitulah ke arah kesejahteraan orang awam di sekitarnya.
Rasulullah s.a.w pernah menyatakan bahawa seorang pemimpin kepada suatu kumpulan manusia merupakan pelayan kepada kumpulan tersebut. Oleh itu, seorang pemimpin hendaklah mendorong dan menolong golongan yang dipimpin ke arah kemajuan. Antara ciri-ciri pemimpin yang dituntut oleh agama Islam adalah:

1.     1. Seorang yang taat dan patuh akan perintah Allah. Seorang pemimpin merupakan individu yang akan membawa kemajuan kepada masyarakat setempat. Oleh itu, pemimpin merupakan orang yang paling banyak ujiannya daripada Allah. Adalah sangat dituntut seorang pemimpin yang akan dipilih adalah seorang yang taat dan patuh kepada perintah Allah. Untuk membawa masyarakat setempat ke arah kemajuan memerlukan pertolongan Allah serta keredhaanNya. Oleh itu, seorang pemimpin hendaklah sentiasa taat dan patuh pada perintahNya di samping menggunakan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan kepada kepimpinannya.

2.      2. Matlamat kepimpinan adalah menuju ke arah kepentingan pimpinan dan ruang lingkup tujuan Islam yang lebih luas. Perlu diingatkan bahawa, setiap pekerjaan kita di dunia, hendaklah dipasakkan kepada kemajuan dan kesejahteraan Islam itu sendiri. Namun, amatlah sukar untuk menuju ke arah ini kerana godaan yang sentiasa datang melanda pemimpin yang taat kepada perintahNya. Sejarah menceritakan bahawa kejatuhan sesuatu kerajaan dan tamadun manusia adalah disebabkan kegagalan dari segi aspek pentadbiran dan politik negara.

3.      3. Berpegang teguh kepada syariat dan akhlak Islamiyah. Pemimpin hendaklah adil dalam memimpin. Amatlah tidak logik bagi seseorang pemimpin untuk memimpin berdasarkan kepentingan peribadi semata-mata. Situasi ini akan melahirkan pemimpin yang berat sebelah dalam kepimpinannya dan akan menjatuhkan dirinya sendiri. Seorang pemimpin menurut Islam hendaklah mereka yang berpegang teguh dengan tali agama dan menjadikan Islam itu sebagai ad-Deen iaitu cara hidup. Pemimpin perlu memimpin dalam semua aspek, bukan hanya pentadbiran semata-mata. Oleh itu, perlu bagi para pemimpin berpegang seteguh-teguhnya kepada syariat dan akhlak Islamiyah supaya kepimpinan mereka akan terus mendapat keredhaan Allah di samping sokongan masyarakat setempat.

4.      4. Memikul amanah bukan untuk kebanggaan diri, tetapi untuk kepentingan ummah dan agama. Pemimpin adalah mereka yang telah diberikan amanah daripada Allah yang disertai dengan tanggungjawab yang sangat besar. Antara amanah dan tanggungjawab tersebut adalah memastikan golongan yang dipimpin mentauhidkan Allah di samping memastikan diri sendiri sendiri dekat denganNya.

Antara konsep pemilihan pemimpin adalah melalui syura dan musyawarah. Musyawarah merupakan konsep utama dalam pemilihan pemimpin berdasarkan kepemimpinannya. Al-Quran telah menggariskan dengan jelas bagawa setiap pemimpin Islam wajib mengadakan musyawarah (mesyuarat) dengan golongan yang mempunyai pengetahuan yang mendalam atau dengan orang yang dapat memberikan pendapat dan pandangan yang terbaik, terutamanya jika berkaitan dengan aspek agama dan pentadbiran.

Rasulullah SAW juga diperintahkan oleh Allah supaya melakukan musyawarah dengan sahabat-sahabat beliau:
“Maka rahmat Allah-lah yang telah menyebabkan kamu berlemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh kerana itu maafkanlah mereka, mohonlah ampunan bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan tersebut. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepadaNya” (Surah ‘Ali Imran, ayat 159).

Pelaksanaan musyawarah memungkinkan anggota organisasi Islam turut serta dalam proses membuat keputusan. Pada saat yang sama musyawarah berfungsi sebagai tempat mengawasi tingkah laku pemimpin jika menyimpang dari tujuan umum kelompok. Tentu saja pemimpin tidak wajib melakukan musyawarah dalam setiap masalah. Masalah rutin hendaknya diselesaikan dengan pendekatan berbeza dengan masalah yang berkaitan perbuatan kebijaksanaan. Apa yang rutin dan apa yang tidak harus diputuskan dan dirumuskan oleh setiap kelompok berdasarkan dan bersesuaian dengan ukuran, keperluan, sumber daya manusia, suasana dan lingkungan yang ada. Apa yang pasti, pemimpin harus mengikuti dan melaksanakan keputusan yang telah diputuskan dalam musyawarah. Dia harus menghindari dirinya dari memanipulasi bermain kata-kata untuk menonjolkan pendapatnya atau mengungguli keputusan yang dibuat dalam musyawarah.
 

Demokrasi

Pada mulanya, demokrasi dipandang tidak sah kerana ianya menggantikan kedaulatan Tuhan dengan kepentingan manusia. Dalam Islam, Tuhan yakni Allah adalah satu-satunya pemegang kedaulatan dan sebagai sumber hukum yang tertinggi.

Demokrasi kini menjadi warisan kemanusiaan yang tiada ternilai harganya sehinggakan sampai sekarang belum dapat ditandingi oleh alternatif lain. Demokrasi terus bertahan dan menjadi pilihan pertama dalam pemilihan pemimpin kerana ianya membawa kepada satu masyarakat yang adil dan bebas, keputusan yang menuntut kepentingan dan kemajuan masyarakat dan sebagainya.

Negara berdemokrasi menjamin hak asasi manusia. Oleh itu, perlulah negara berdemokrasi ini diintegrasikan dengan Islam secara menyeluruh. Konsep demokrasi menurut Yusuf al-Qardhawi adalah menuntut demokrasi agar digunakan sebagai sarana atau alat yang mudah untuk mewujudkan tujuan hidup seseorang muslim. Manakala konsep demokrasi menurut Khaled Abou El-Fadl adalah demokrasi dalam ajaran Islam tidak harus menggantikan kedaulatan rakyat dengan kedaulatan Tuhan dengan syarat proses pembentukan hukum yang bersifat demokratis harus memberikan keutamaan kemaslahatan yang digariskan oleh syariah. Selain itu al-Qaradhawi menjadikan demokrasi sebagai prosedur dan mekanisme untuk menegakkan syari’at atau negara Islam, sedangkan Khaled menjadikan demokrasi sebagai nilai dan prosedur untuk mencapai kemaslahatan bersama dan menghargai perbezaan.