Saturday, January 22, 2011

Laporan Terkini AGM kali ke-12

BATU PAHAT, UTHM-Alhamdulillah..segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Iqra' (AGM) kali ke-12 telah selamat dan selesai diadakan. AGM kali ke-12 kali ini telah diadakan di Dewan Kuliah 2 UTHM bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 2 petang.

AGM kali ini telah dirasmikan oleh penasihat Kelab Iqra' UTHM, Ustaz Mohd Shahrir bin Hj Abd Mutalib. Selepas perasmian, AGM diteruskan dengan sesi Mesyuarat Agung Tahunan yang telah dipengerusikan oleh pengerusi tetap iaitu saudara Amir bin Yusuf. 

Pada sesi mesyuarat, slot pertama adalah ucapan dasar Pengerusi Kelab Iqra' UTHM sesi 2010 saudara Mohd Faridz bin Ismail yang menyentuh mengenai beberapa yang menjadi topik hangat sepanjang kepimpinan beliau dan juga pesanan kepada bakal kepimpinan Kelab Iqra' UTHM yang akan datang.

Mesyuarat disusuli dengan slot pembentangan laporan aktiviti Kelab Iqra' UTHM oleh saudara Mohd Fakhairie bin Ibrahim. Pada sesi 2010, Kelab Iqra' UTHM telah mengadakan 13 program pada sepanjang sesi. 4 program telah diadakan pada sesi pertama tahun 2010 dan 9 program telah diadakan pada sesi kedua 2010.Seterusnya, mesyuarat diikuti pula dengan slot pembentangan laporan kewangan Kelab Iqra' sepanjang sesi 2010. Pada sesi 2010, sebanyak RM9877.50 telah digunakan untuk program Kelab Iqra' yang meliputi peruntukan daripada Hal Ehwal Pelajar dan juga sumbangan daripada beberapa pihak.

Antara isu yang hangat disentuh sepanjang mesyuarat berlangsung adalah mengenai status penukaran nama Kelab Iqra' UTHM kepada Persatuan Mahasiswa Islam UTHM (PMIUTHM). Isu ini telah dijawab oleh saudara Pengerusi Kelab Iqra' sendiri dan disokong oleh kajian yang telah dilakukan oleh Lajnah Penyelidikan, Pembangunan dan Perpaduan (LPPP) Kelab Iqra' yang telah dibentangkan hasil kajiannya oleh saudara Ameerul Asri. 

Menyentuh isu status penukaran ini, Pengerusi Kelab Iqra' sesi 2010 telah mengamanahkan perlaksanaannya kepada bakal saff kepimpinan yang baru untuk melaksanakan dan meneruskan agenda Kelab Iqra'. Hasil kajian yang telah dibentangkan oleh LPPP telah memberi ruang kepada saff kepimpinan yang baru untuk menukar nama Kelab Iqra' kepada PMI. Hasil kajian mendapati majoriti responden yang terlibat mahu nama Kelab Iqra' ditukar kepada PMIUTHM.

AGM kali ke-12 telah disempurnakan dengan penyerahan cenderahati kepada wakil kelab dan wakil kampus lain yang telah hadir bagi memeriahkan AGM Kelab Iqra' pada kali ini. AGM ditutup dengan tasbih kaffarah dan surah al-Asr pada jam 1.57 petang.